Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa rakyat Malaysia untuk mendapatkan dos penggalak dengan segera.
KKM menerusi ciapan di Twitter menganggarkan seramai 2.37 juta rakyat Malaysia akan kehilangan status vaksin lengkap menjelang 31 Mac 2022.
Difahamkan angka ini melibatkan penerima dua dos vaksin COVID-19 keluaran Sinovac di Malaysia.
Sehubungan itu, KKM menasihati rakyat Malaysia yang terlibat untuk mendapatkan dos penggalak dalam kadar segera.
Malah individu yang ingin mendapatkan dos penggalak boleh membuat tempahan janji temu vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera.
Bagaimana nak gunakan pautan untuk menempah janji temu vaksinasi?
Caranya sangat mudah, anda hanya perlu masuk ke aplikasi MySejahtera kemudian klik pada ikon Vaksinasi Covid-19 dan pilih nama penerima janji temu vaksinasi.
Selepas itu, klik pada pautan (link biru) yang diberikan dan pilih jenis vaksin dan nama atau lokasi PPV yang anda inginkan.
Kemudian periksa maklumat yang telah anda pilih dan klik pada butang ‘Sahkan’ dan selesai, janji temu anda telah pun disahkan.
Anda juga boleh ikuti langkah seperti yang diberikan di dalam gambar di bawah.