fbpx
Now Reading
Mayat Pelatih AMD Yang Lemas Ditemukan Dalam Penyedut Pasir

Mayat Pelatih AMD Yang Lemas Ditemukan Dalam Penyedut Pasir

Mangsa telah dihanyutkan arus deras ketika sedang mandi bersama rakan-rakannya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini kami ada melaporkan mengenai satu insiden di mana pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) yang dikhuatiri lemas di Sungai Ketil berdekatan Kampung Padang Temu di Baling, Kedah.

Selepas 27 jam operasi mencari dan penyelamat dijalankan, mayat Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa, 14 akhirnya berjaya ditemui.

Dijumpai dalam penyedut pasir

Memetik laporan Bernama, Ketua Zon 3 Kedah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata, mayat mangsa dijumpai di dalam penyedut pasir di Sungai Limau kira-kira jam 5.45 petang semalam (24 Mac).

“Mayat mangsa telah ditemukan dalam paip berkenaan oleh penjaga pam di kawasan sungai itu, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang semalam (23 Mac).

“Kadar kelajuan air ketika operasi mencari mangsa adalah lebih lima kilometer per jam dan paras kedalaman sungai adalah 2.9 kaki,” kata Rahimi Ali.

Menurut beliau, operasi yang bermula pada 8 pagi pada Khamis (24 Mac) telah disertai oleh pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, badan bukan kerajaan serta penduduk kampung.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan

Katanya, kaedah pencarian mangsa ini telah dibahagi kepada beberapa sektor antaranya adalah menggunakan teknik pencarian di permukaan air dari tempat mangsa dilaporkan hilang sehingga ke Pekan Baling serta selaman oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di kawasan yang dikhuatiri mangsa tersangkut.

“Proses pencarian turut menggunakan bot, kayak dan ski jet, pencarian di pesisir tebing sungai, menggunakan khidmat anging pengesan Unit K9 dan menggunakan jentera berat untuk mengalihkan timbunan buluh yang berada di dalam sungai,” kata beliau.

Tambahnya lagi, mayat Muhammad Saiful Ezzudin diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan susulan.

Kredit gambar: Jabatan Amal Baling

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.