fbpx
Now Reading
Tiada Faktor Pencemaran Ditemukan, Bangkai Ikan Di Teluk Gong Mungkin Dibuang Nelayan – KM Melaka

Tiada Faktor Pencemaran Ditemukan, Bangkai Ikan Di Teluk Gong Mungkin Dibuang Nelayan – KM Melaka

Tiada sebarang faktor pencemaran alam sekitar ditemui tetapi bangkai ikan yang terdampar itu disyaki dibuang kerana tiada nilai komersial.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam, gempar apabila nelayan menjumpai ribuan bangkai ikan Tamban Pias terdampar di Pantai Teluk Gong, Alor Gajah, Melaka.

Kejadian yang baru pertama kali berlaku ini menyebabkan penduduk kawasan berdekatan tertanya-tanya adakah terdapat tumpahan minyak di kawasan lautan.

Memetik laporan Utusan, Unit Biosekuriti Perikanan, Jabatan Perikanan negeri telah mengambil sampel bangkai ikan berkenaan untuk tujuan persampelan oleh Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Batu Maung, Pulau Pinang.

Terbaharu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md.Ali berkata, hasil ujian makmal mendapati tiada sebarang faktor pencemaran alam sekitar ditemukan yang menyebabkan ikan berkenaan mati, sebaliknya ikan tersebut disyaki dibuang nelayan.

“Pada pukul 9 malam tadi, Unit Biosekuriti Perikanan telah mengambil sampel dan didapati hanya satu spesis ikan iaitu dikenali sebagai ikan Tamban Pias oleh penduduk tempatan.

“Ulasan diberikan adalah ikan ini rata-ratanya bersaiz lima inci dan tiada kemungkinan disebabkan pencemaran, sebaliknya adalah tindakan nelayan membuang ikan tersebut,” katanya.

Sulaiman menjelaskan, ikan berkenaan disyaki dibuang kerana tidak mempunyai nilai di dalam pasaran.

“Ini disebabkan sifat semula jadi ikan ini yang mempunyai bau hanyir, rasa tawar dan tulang terlalu banyak.

“Mengenai dakwaan kononnya berlaku tumpahan minyak, pemeriksaan telah pun dilakukan dan kita tidak menjumpai tanda-tanda pencemaran di sepanjang pantai malah keadaan air juga normal,” kata Ketua Menteri itu.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.