fbpx

“Selamat Kembali Ke Malaysia”- Rakyat Sorak Kegembiraan Rai Pembukaan Tambak Johor, Linkedua

Malaysia dan Singapura juga bakal membenarkan pengembara yang lengkap vaksinasi bagi merentas laluan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19, termasuk ujian prapelepasan semasa ketibaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Berakhir sudah penantian selama dua tahun bagi rakyat Malaysia yang berada di Singapura apabila laluan darat bagi Tambak Johor, telah mula dibuka tepat pada jam 12 tengah malam tadi.

Memetik laporan Bernama, beberapa minit sebelum itu, kelihatan orang ramai berjalan kaki dari arah Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) Singapura menuju ke Malaysia, dan telah menyebabkan orang ramai yang sedang menunggu bersorak kegembiraan.

Orang ramai yang berkumpul di R&F Mall berdekatan dengan Tambak Johor, turut menyambut mereka dengan percikan bunga api serta laungan sorakan seperti “welcome back” dan “selamat kembali ke Malaysia”.

Sebelum ini Tambak Johor dan Lebuhraya Linkedua, yang sepi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerak (PKP) telah kembali ‘bernyawa’ selepas hampir dua tahun, bersempena dengan pembukaan sempadan negara yang bermula hari ini (1 April).

Suasana di sekitar Bandaraya Johor Bharu itu turut meriah, apabila orang ramai berkumpul untuk menanti ketibaan ahli keluarga mereka dari Singapura malah ada juga yang datang ke sana hanya untuk merasai detik bersejarah itu.

Foto: FB Shakir Abu Aish

Menerusi tinjauan yang dilakukan oleh Bernama, kenderaan yang keluar dari arah Singapura turut membunyikan hon mereka dan kelihatan penumpangnya turut bersorak kegembiraan.

Mohd Fauzan Hafizi Rosli, 33, yang merupakan seorang juruteknik yang bekerja selama empat tahun di negara Singapura itu turut menitiskan air mata ketika ditanya mengenai perasaaannya apabila dapat kembali ke tanah air.

Beliau yang berasal dari Kota Tinggi itu berkata akhirnya dia dapat melepaskan kerinduan pada anak dan isteri selepas dua tahun tidak dapat bertemu.

“Isteri tidak tahu pun saya balik, buat kejutan untuk dia, harap menjadilah kejutan saya ini… Sudah lama saya tidak dapat berjumpa keluarga.

“Terima kasih buat kerajaan Malaysia dan Singapura, yang menjayakan pembukaan sempadan ini,” kata Mohd Fauzan.

Tambahnya, lebih manis lagi, apabila kepulangan rakyat Malaysia pada waktu ini adalah ketika umat islam sedang hampir menyambut bulan ramadan.

“Dah dua tahun beraya di negara orang, rasa sebak ada, terharu ada.. tidak tahu macam mana hendak berjumpa dengan isteri dan anak,” katanya lagi.

Terdahulu, Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk membuka sepenuhnya sempadan darat bagi pengembara yang lengkap vaksinasi mulai 1 April, selaras dengan fasa peralihan ke endemik yang dilaksanakan oleh negara ini.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.