JAIM Sahkan Hanya 14 Hotel Di Melaka Ada Sijil Halal & Dibenar Guna Istilah Bufet Ramadan
Pihak perhotelan dan juga premis makanan yang tidak mempunyai sijil pengesahan halal, hendaklah tidak mengelirukan umat islam dengan menggunakan frasa-frasa tertentu untuk mempromosi bufet makanan mereka.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Setiap kali tibanya bulan Ramadan selain tidak sabar untuk melihat kemeriahan di bazar Ramadan, Industri perhotelan serta premis-premis makanan di negara ini turut tidak melepaskan peluang untuk mempromosikan bufet Ramadan yang mereka miliki.
Terbaharu, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memaklumkan hanya 14 buah hotel sahaja di Melaka yang telah diiktiraf halal serta dibenarkan untuk menggunakan perkataan ‘Bufet Ramadan’ atau ‘Iftar Ramadan’ bagi membuat promosi sepanjang bulan puasa ini.
Memetik laporan Utusan, Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, hotel-hotel yang tidak mempunyai sijil pengesahan halal tidak dibenarkan untuk membuat promosi bufet Ramadan dengan perkataan yang boleh membuatkan umat islam terpedaya.
“Hotel-hotel yang tidak mempunyai sijil halal tidak boleh mempromosikan bufet sempena Ramadan dengan menggunakan frasa ‘Bufet Ramadan’, ‘Iftar Ramadan’, ‘Jom Iftar’, ‘Citarasa Ramadan’, ‘Selera Ramadan’, ‘Set Ramadan’, dan ‘Jom Berbuka’.
“Ini kerana frasa-frasa tersebut membawa maksud makanan yang disediakan oleh premis berkenaan adalah halal dan boleh dimakan oleh umat Islam untuk berbuka,” katanya kepada pemberita semalam (3 April).
Katanya lagi, larangan itu juga adalah berpandukan kepada Akta Perihal Dagangan (APD 2011) di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal).
Mereka yang disabit dengan kesalahan juga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 dan Perintah Perihal Dagangan (takrif halal) yang boleh dikenakan denda maksimum RM10 juta.
Che Sukri turut menyenaraikan 14 buah hotel yang mempunyai sijil halal adalah terdiri daripada Ames Hotel, Amverton Heritage Resort, Bayou Lagoon Park Resort, Bayview Hotel Melaka, Hatten Hotel, Hotel Pantai Puteri dan Hotel Sentral Melaka.
“Selain itu, Hotel Sentral Riverview, IBIS Hotel, Kings Green Hotel, LaCrista Hotel Melaka, Mudzaffar Hotel, Rosa Hotel dan Straits Hotel & Suits.
“JAIM akan membuat pemeriksaan mengejut bersama-sama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri untuk mengesan hotel-hotel yang tidak diperakui halal, namun menggunakan frasa ini,” kata Che Sukri lagi.