Dua beranak di Temerloh, yang pergi menangkap ikan bertukar tragedi apabila mereka dijumpai maut kerana disyaki terkena renjatan elektrik.
Menerusi laporan Bernama, difahamkan dua beranak yang berketurunan Orang Asli itu terkena renjatan elektrik ketika menangkap ikan dengan menggunakan peralatan yang diperbuat daripada bateri kereta.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, mangsa yang berusia 45 tahun itu merupakan seorang bapa serta anak lelakinya yang berusia 16 tahun telah dijumpai pada jam 3.40 petang dalam keadaan terbaring di tepi sungai di dalam ladang kelapa sawit di Kuala Krau oleh sekumpulan penduduk kampung.
“Kumpulan penduduk kampung tersebut difahamkan mencari mangsa yang berasal dari Kampung Paya Sendayan kerana mereka dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar pada Sabtu (2 April).
“Siasatan awal dengan individu yang menjumpai mangsa mendakwa mereka terjumpa sebuah bateri kereta dan wayar serta peralatan menangkap ikan berdekatan mangsa,” katanya.
Menurutnya, lokasi mayat mangsa dijumpai dengan rumah mangsa adalah berdekatan dan ia boleh diakses dengan berjalan kaki.
Mayat dua mangsa tersebut dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk bedah siasat.
Manakala Metro turut melaporkan, pihak polis akan menyiasat insiden berkenaan sekiranya aktiviti seperti itu sering kali dilakukan dikampung tersebut.
Ramli bagaimanapun turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan bahaya atau modifikasi yang boleh membahayakan diri.