Tular Video Memandu Secara Melulu, Polis Buka Kertas Siasatan & Cari Pemandu BMW Singapura
Jika sabit kesalahan, pemandu itu boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan maksimum RM15,000.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Pembukaan sempadan darat Malaysia-Singapura sejak 1 April lalu sememangnya dinantikan banyak pihak khususnya rakyat Malaysia yang bekerja di sana.
Malah, ia turut menimbulkan keterujaan di kalangan rakyat republik itu yang dilihat mula mengambil peluang untuk berkunjung dan bercuti di negara kita.
Namun siapa sangka, kelonggaran yang diberikan oleh kedua-dua kerajaan telah disalahgunakan oleh segelintir pemandu warga Singapura di Malaysia.
Ini boleh dilihat menerusi satu video tular memaparkan aksi berbahaya sebuah BMW Gold dengan nombor pendaftaran Singapura yang memotong kenderaan lain secara melulu di sebuah jalan di Kota Tinggi, Johor.
Selain kenderaan tersebut, kelihatan beberapa kenderaan mewah dipercayai milik warga Singapura turut memandu dalam keaaan laju seolah-olah sedang berlumba.
Video tersebut menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia yang rata-ratanya kesal dengan aksi mereka yang disifatkan biadap dan tidak menghormati undang-undang negara orang lain.
Terbaharu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Hussin Zamora berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sedang mengenalpasti pemandu kenderaan yang terlibat.
Kata beliau, kejadian yang disyaki berlaku di simpang lampu isyarat Felda Gugusan Adela, Jalan Sungai Rengit menghala ke Bandar Penawar itu boleh mengakibatkan kemalangan.
“Aksi berbahaya itu berjaya dirakam oleh orang awam dan telah dimuat naik ke laman Facebook pada 3 April yang lalu. Susulan rakaman itu, kita membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sedang mengenalpasti pemandu kenderaan yang terlibat.
“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan maksimum RM15,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.