fbpx
Now Reading
Bilal Mohon Maaf Tak Sengaja Laung Azan Maghrib Awal 4 Minit

Bilal Mohon Maaf Tak Sengaja Laung Azan Maghrib Awal 4 Minit

Ini secara tidak langsung telah membuatkan puasa bagi penduduk yang berbuka mengikut azan tersebut terbatal dan wajib digantikan selepas Ramadan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sudah empat hari umat Islam menjalankan ibadah berpuasa dan selama empat hari ini telah berlaku insiden tersilap azan pada waktu maghrib di mana ia dilaungkan atau disiarkan lebih awal.

Insiden yang tidak disengajakan ini bagaimanapun telah membuatkan segelitir daripada masyarakat setempat telah berbuka puasa lebih awal dari waktu yang ditetapkan dan ia secara tidak langsung membuatkan puasa tersebut terbatal.

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila seorang bilal di Surau Al-Qadir di Guchil 7, Kuala Krai, Kelantan yang dipercayai secara tidak sengaja telah melaungkan azan awal empat minit dari waktu yang sepatutnya.

Memetik laporan Bernama, Imam Masjid Bandar Kuala Krai, Armin Azahari Mamat berkata sewaktu kejadian, bilal berkenaan tidak menyedari bahawa beliau telah melaungkan azan maghrib jam 7.17 malam, hingga menyebabkan ada segelintir penduduk yang percaya bahawa telah masuk waktu berbuka puasa.

“Saya telah dimaklumkan oleh penduduk bahawa tok bilal dari Surau Al-Qadir di Guchil 7, Kuala Krai itu telah melakukan kesilapan tersebut dan beliau telah memohon maaf atas kecuaian yang dilakukan tanpa disengajakan,” jelas Armin ketika dihubungi Bernama.

Puasa terbatal wajib ganti puasa

Oleh itu, beliau memaklumkan mengikut hukum syarak, penduduk di sekitar kawasan yang telah berbuka puasa mengikut azan berkenaan, wajib menggantikan puasa mereka selepas berakhirnya Ramadan kerana puasa tersebut telah terbatal.

Armin dalam masa sama turut menasihati orang ramai supaya peka dengan waktu berbuka puasa serta tidak bergantung semata-mata kepada alunan azan yang berkumandang di masjid, surau, televisyen mahupun radio.

Manakala menerusi laporan Kosmo, pihak polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan insiden tersebut dan menyerahkan siasatan kes tersebut kepada Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi tindakan lanjut.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.