fbpx
Now Reading
Niat Ziarah Tak Kesampaian, Keluarga Terkejut 7 Kubur Rosak Dipecah & Rangka Hilang

Niat Ziarah Tak Kesampaian, Keluarga Terkejut 7 Kubur Rosak Dipecah & Rangka Hilang

Menurut ADUN Dudong, insiden seumpama ini pernah dilaporkan berlaku pada akhir bulan Mac yang lalu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Niat beberapa waris untuk datang melawat dan membersihkan kubur ahli keluarga di sebuah perkuburan di Sibu, Sarawak tidak kesampaian apabila menyedari beberapa kubur telah hancur dipecahkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Insiden aneh yang berlaku di Tanah Perkuburan Cina, Bukit Aup itu melibatkan tujuh kubur di mana ia bukan setakat dirosakkan, malah keranda dibakar selain rangka si mati hilang dan tidak dapat dijumpai.

Foto : Borneo Network

Pengerusi Persekutuan Persatuan Kubur-Kubur Cina Bahagian Sibu, Kaunselor Teo Boon Siew berkata, insiden tersebut disedari oleh beberapa keluarga yang datang bagi memperingati dan membersihkan kawasan tanah perkuburan nenek moyang serta ahli keluarga mereka bersempena dengan sambutan Ching Ming, pada 3 April (Ahad) yang lalu.

“Semuanya ada tujuh kubur yang dipecahkan kerana kubur di sini tidak ditanam dalam tanah dan hanya di masukkan ke dalam lubang yang ditutup dengan menggunakan simen dan bata.

“Kami juga mendapati keranda daripada kubur berkenaan diseret keluar dan dibakar di semak berhampiran.

“Kami tidak tahu apa motif sebenarnya individu itu berbuat demikian.” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mungkin mahukan tulang si mati

Menurutnya, lebih aneh apabila rangka dan tulang temulang si mati tidak dijumpai.

“Kita percaya mereka yang menjalankan kegiatan ini hanya mahukan tulang si mati. Kenapa saya berkata begitu, sebab tiada langsung satu tulang yang dijumpai.

“Mungkin mereka mengumpul tulang si mati untuk kegunaan sesuatu tetapi tidak tahu apa motifnya mereka berbuat demikian,” ujar Teo.

Beliau turut mengecam tindakan tersebut serta beranggapan ia tidak menghormati orang yang sudah meninggal dunia.

Tambahnya, beliau percaya pelaku itu ialah orang yang berpengalaman berkaitan selok-belok urusan pengebumian.

Jelasnya lagi, semua keluarga yang terlibat dengan insiden berkenaan telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Merah.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Collin Babat turut mengesahkan pihak polis telah menerima sebanyak empat laporan berkaitan insiden menceroboh kubur pada Isnin (4 April) lalu.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh tanah perkuburan,” kata Collin Babat sewaktu dihubungi media.

ADUN Dudong minta pihak berkuasa segera teliti tindakan yang sesuai

Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Datuk Seri Tiong King Sing menerusi hantaran di Facebook meminta pihak berkuasa untuk segera meniliti tindakan yang sesuai bagi menghentikan jenayah tersebut dari terus berleluasa.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.