fbpx
Now Reading
Rapid Bus Mohon Maaf, Sedang Siasat Dakwaan Pemandu Bas Tutup Pintu Selepas Dikejar Penumpang

Rapid Bus Mohon Maaf, Sedang Siasat Dakwaan Pemandu Bas Tutup Pintu Selepas Dikejar Penumpang

Rapid KL dalam masa sama turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai insiden ini untuk menghubungi talian bantuan Rapid KL di 03-7885 2585 bagi membantu siasatan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), syarikat yang mengendalikan perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL, kini mula menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang pengguna Twitter mengenai kejadian pintu bas ditutup semasa penumpang berlari untuk menaiki bas berkenaan.

Syarikat berkenaan yang tampil menerusi satu kenyataan yang dikongsikan Rapid KL memaklumkan catatan pengguna Twitter itu yang menggunakan akaun @azlanalanlan memaparkan kejadian yang dikatakan berlaku di Jalan Klang Lama sekitar pukul 3.10 petang justeru pihaknya sedang menyiasat bagi mengenal pasti kapten bas berkenaan.

“Ciapan oleh pengguna Twitter yang menggunakan akaun @azlanalanlan memaparkan gambar seorang lelaki sedang menunggu bas di perhentian bas yang kosong. Beliau mendakwa penumpang telah berlari mengejar bas, akan tetapi pintu bas ditutup oleh Kapten Bas. Kejadian dikatakan berlaku di Jalan Klang Lama sekitar 3:10 petang.

“Kami memandang serius dakwaan tentang kejadian tersebut yang melibatkan etika dan tanggungjawab sebagai seorang kakitangan Rapid Bus,” kata Rapid Bus dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad (10 April).

Rapid KL mohon maaf, akan teliti CCTV dan temu ramah Kapten Bas

Tambah mereka lagi, siasatan awal menggunakan data kotak hitam yang dirakam secara automatik menunjukkan bas terbabit telah berhenti di perhentian tersebut.

“Rapid Bus akan meneliti rakaman litar tertutup serta menemu ramah Kapten Bas bagi melengkapkan siasatan, dan sekiranya Kapten Bas didapati bersalah, tindakan tatatertib sewajarnya akan diambil.

“Rapid Bus memohon maaf atas kejadian ini dan memberi jaminan tindakan susulan yang sewajarnya akan diambil bagi memastikan perkara sebegini tidak akan berulang di masa hadapan,” tambah kenyataan itu lagi.

Rapid KL dalam masa sama turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai insiden ini untuk menghubungi talian bantuan Rapid KL di 03-7885 2585 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, penularan ciapan tersebut menyebabkan netizen menggesa Rapid KL agar melakukan siasatan secepat mungkin. Ada yang mendakwa insiden sebegini sememangnya kerap terjadi dan biasanya akan melibatkan penumpang warga asing.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.