Didera & Dipukul, 16 Rakyat Malaysia Di Kemboja Dipaksa Bekerja Sebagai ‘Scammer’
Walau bagaimanapun, mereka kini dilaporkan selamat dan seramai 12 orang telah pulang ke tanah air manakala 4 lagi masih di sana kerana disahkan positif wabak Covid-19.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seramai 16 orang rakyat Malaysia dikawal oleh anggota sindiket yang bersenjata api dan tidak diberikan tempat tinggal serta makanan dan dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ di Kemboja.
Memetik laporan Berita Harian, Peguam yang mewakili semua mangsa yang terbabit, Heng Zhi Li berkata kumpulan tersebut telah berlepas ke Kemboja sejak September tahun (2021) lalu secara berperingkat serta dibiayai sindiket yang disyaki dari China yang menyediakan tiket penerbangan.
Mangsa takut untuk melarikan diri kerana ada yang dipukul, ditampar, serta didera dengan kejutan elektrik
Mangsa yang terlibat berusia antara 19 tahun hingga 45 tahun itu rata-rata berasal dari Selangor, Johor, Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Pahang.
“Mangsa memaklumkan mereka takut untuk melarikan diri kerana ada dalam kalangan mereka dipukul, ditampar dan didera dengan kejutan elektrik,” katanya kepada media hari ini (12 April).
Zhi Li yang berlepas ke Kemboja pada Sabtu (9 April) yang lalu turut mengiringi kepulangan mangsa yang terkandas bersama dengan Ahli Jawatankuasa Pemuda MCA Pusat, Tan Jie Sen.
Dijanjikan dengan gaji lumayan
Menurutnya, mangsa dijanjikan gaji yang bernilai RM7,000 namun tidak pernah menerima gaji tersebut. Sebaliknya, mereka hanya diberikan kad tunai bagi membeli makanan serta barangan di bangunan tersebut dengan dikawal anggota sindiket.
Kesemua mangsa telah mendapat permit kerja daripada kerajaan Kemboja yang disyaki dipalsukan sindiket berkenaan.
“Keluarga seorang daripada mangsa sebelum ini sudah membayar wang tebusan RM18,000 bagi membebaskan mangsa.
“Bagaimanapun, mangsa tidak juga dibebaskan sehinggalah dia dapat pulang bersama-sama rakan yang lain hari ini”, ujarnya.
Siasatan telah dilakukan selama tiga bulan sejak Januari lalu
Usaha dalam membawa kumpulan tersebut pulang bermula selepas pihaknya membuat siasatan selama tiga bulan sejak Januari yang lalu berikutan daripada aduan kakak seorang mangsa yang menerima maklumat mengenai keadaan mereka di Kemboja dari adiknya.
Pihaknya telah bekerjasama dengan semua ahli keluarga mangsa untuk mendapatkan maklumat lengkap serta Majlis Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) untuk mengesan koordinat bangunan berserta dengan gambar bangunan yang diduduki oleh mangsa.
Semua maklumat lengkap itu telah diserahkan kepada MAPO pada dua minggu yang lepas dan hasilnya mereka telah dikesan serta diselamatkan oleh pihak berkuasa Kemboja pada 4 April yang lalu.
Sementara itu, seramai 12 daripada 16 rakyat Malaysia yang ditahan telah selamat dibawa pulang ke tanah air pada hari ini manakala tiga orang lelaki dan seorang wanita tidak dapat dibawa pulang kerana disahkan positif Covid-19.
Sekitar Mac lalu, ADUN Kulim, Yeo Keng Chuan mendedahkan terdapat beberapa orang rakyat Malaysia telah ditipu dan dipaksa menjadi scammer di Myanmar.
Namun tiada maklumat lanjut samaada insiden melibatkan mangsa sama atau sebaliknya.
Baca artikel berkaitan :
Kredit gambar: SunDaily / MCA