Pemandu Wanita Langgar Mati 8 Remaja Main Basikal Lajak Dihukum Penjara 6 Tahun
Selain penjara 6 tahun, dia juga hilang kelayakan memandu selama 3 tahun bermula sebaik dia selesai menjalani hukuman.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini (13 April) memerintahkan seorang wanita dipenjara enam tahun dan denda RM 6,000 atas kesalahan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.
Keputusan yang diputuskan Hakim Datuk Abu Bakar ini sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret yang membebaskan Sam Ke Ting, seorang kerani yang berusia 27 tahun daripada tuduhan berkenaan pada Oktober 2021 yang lalu.
Menerusi laporan Harian Metro, Hakim turut mengarahkan responden untuk menjalani hukuman penjara enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Hilang kelayakan memandu 3 tahun
Selain itu, dia juga akan hilang kelayakan memandu selama tiga tahun di mana proses tersebut akan mula berkuat kuasa sebaik sahaja dia selesai menjalani hukuman penjara.
Dalam penghakimannya, Abu Bakar menjelaskan bahawa pendakwa raya telah berjaya memutuskan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Menurutnya, Mahkamah Bicara (Majistret) telah terkhilaf dalam menimbangkan semula isu dibangkitkan di akhir kes pendakwaan berkaitan identiti pemandu kereta dan lain-lain.
“Mahkamah bicara turut terkhilaf apabila menerima pembelaan responden yang tidak mengetahui adanya aktiviti basikal lajak pada malam kejadian sebagai alasan untuk memandu kereta secara merbahaya sehingga mengorbankan mangsa.
“Responden seharusnya memandu kereta dengan lebih berhati-hati dan bukannya memandu laju kerana mengambil kira pencahayaan tidak begitu terang dan jarak penglihatan ke depan terhad,” ujarnya sebelum menjatuhkan hukuman.
Kejadian berlaku pada awal pagi 8 Februari 2017
Dalam kejadian yang berlaku pada 8 Febuari 2017 di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru, 8 remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun itu maut manakala 8 lagi mengalami kecederaan.
Kereta dipandu responden yang pada waktu itu berusia 22 tahun gagal mengelak lebih 20 hingga 30 kumpulan remaja berbasikal yang dipercayai memenuhi jalan pada jam sekitar 3 pagi.
Difahamkan kumpulan remaja ini yang menunggang basikal lajak sedang bergerak ke arah lampu isyarat Jalan Sungai Chat berhampiran Hotel Thistle sebelum dirempuh Nissan Almera dipandu Ke Ting.
Siasatan awal kemudian mengesahkan wanita berkenaan tidak mabuk semasa kejadian berlaku.