fbpx
Now Reading
Selepas Nagaenthran, Seorang Lagi Rakyat Malaysia Akan Jalani Hukuman Gantung Di Singapura

Selepas Nagaenthran, Seorang Lagi Rakyat Malaysia Akan Jalani Hukuman Gantung Di Singapura

Namun menurut peguam Lawyers Of Liberty, N Surendran, hukuman tersebut yang sepatutnya berlangsung tengahari esok bagaimanapun telah ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi Singapura sebentar tadi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam 27 April, rakyat Malaysia, Nagaentran Dharmalingam, yang didapati bersalah menyeludup dadah ke Singapura pada 2009 sudah pun menjalani hukuman mati di Penjara Changi.

Berita duka itu disahkan adiknya, Navin Kumar yang turut memaklumkan kepada media bahawa mayat abangnya yang berusia 34 tahun akan dibawa pulang ke Ipoh pada hari sama.

Namun terbaharu seorang lagi rakyat Malaysia dilaporkan akan menjalani hukuman sama di negara republik itu.

Menurut laporan Malaysiakini, Datchinamurthy Kataiah telah dijadualkan untuk menjalani hukuman pada Jumaat 29 April, iaitu dua hari selepas hukuman Nagaenthran dijalankan.

Jadual pelaksanaan hukuman itu dimaklumkan oleh Jabatan Penjara Singapura menerusi sepucuk surat yang bertarikh 22 April 2022.

Ditunda untuk sementara

Namun menurut peguam Lawyers Of Liberty, N Surendran, hukuman tersebut yang sepatutnya berlangsung tengahari esok bagaimanapun telah ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi Singapura sebentar tadi.

Jelasnya rayuan dikemukakan oleh Datchinaramurthy sendiri kerana tiada peguam di republik itu yang berani untuk mewakilinya.

“Tiada hukuman mati pada esok pagi. Datchinamurthy membela dirinya sendiri kerana tiada peguam Singapura berani mewakilinya kerana takut akan tindakan balas daripada negara itu,” tulis Surendran di Twitter.

Difahamkan Dathinamurthy yang berusia 36 tahun menanti hukuman itu di Penjara Changi sejak tahun 2015 lagi.

Dia sebelum ini ditahan pada 18 November 2011 bersama seorang wanita warga Singapura kerana memiliki sejenis dadah yang diperbuat daripada heroin.

Sehubungan itu dia kemudiannya didakwa atas tuduhan mengedar dadah berkenaan dan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Wanita berkenaan bagaimanapun hanya dihukum penjara seumur hidup oleh mahkamah Singapura.

Sebagai info, Singapura adalah salah satu negara yang paling ketat dalam menguatkuasakan undang-undang antidadah di dunia.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.