fbpx
Now Reading
Lelaki Disyaki Larikan Isteri Orang Ditahan Polis [Video]

Lelaki Disyaki Larikan Isteri Orang Ditahan Polis [Video]

Selain melarikan kenderaan mangsa, lelaki tersebut turut didapati positif dadah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Dek kerana takut ‘diburu’, seorang lelaki bertindak melarikan kenderaan milik seorang wanita dan melanggar lampu isyarat sebelum merempuh sebuah kereta polis yang menghalangnya.

Bukan itu sahaja, dia yang juga seorang pengganggur cuba melarikan sebuah motosikal sebelum ditahan dalam pergelutan dengan anggota polis pada pagi semalam (4 April) di Seri Manjung, Perak.

Suspek minta tolong dari wanita yang dikenali dari Wechat

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, suspek berusia 31 tahun sebelum itu telah menghubungi wanita berkenaan yang juga merupakan isteri orang yang dikenali menerusi aplikasi Wechat.

Menurutnya, suspek telah meminta wanita berusia 34 tahun itu untuk mengambilnya pada pada jam 7.30 pagi di sebuah premis di Sitiawan dengan menaiki sebuah kenderaan.

Wanita tersebut yang bimbang akan keselamatan diri telah meminta suaminya untuk mengekorinya secara berasingan.

Beri alasan ada orang sedang mengejarnya

“Semasa tiba di lokasi, suspek menyedari kehadiran suami wanita itu dan meminta untuk memandu kereta terbabit dengan alasan ada orang sedang mengejarnya.

“Lelaki itu beranggapan suami wanita terbabit adalah pemungut hutang kerana suspek sebelum ini telah beberapa kali melarikan diri atas masalah hutang yang masih belum dijelaskan,” katanya memetik dari Sinar Harian.

Tambah beliau, suspek yang memandu kenderaan mangsa telah menghala ke Seri Manjung dalam keadaan yang berbahaya serta enggan berhenti ketika diarahkan oleh peronda polis yang berada berdekatan.

Jelasnya lagi, lelaki tersebut bukan sahaja enggan memberhentikan kenderaan, malah terus memecut serta melanggar isyarat lalu lintas.

Suspek langgar kereta peronda polis

Setiba sahaja di hadapan bangunan Toyota Seri Manjung, kenderaan peronda polis telah bertindak untuk menghalang jalan.

Suspek bagaimanapun telah bertindak melanggar sebuah kereta polis dan terus memecut laju.

“Apabila tiba di hadapan sebuah restoran, suspek menghentikan kereta dan cuba pula mengambil motosikal milik seorang wanita tetapi gagal, memaksa dia kembali masuk ke dalam kereta.

“Anggota polis yang tiba cuba menahan suspek dan berlaku pergelutan sebelum lelaki itu ditahan,” ulas Nor Omar.

Positif dadah methamphetamine

Menerusi saringan awal,suspek didapati positif methamphetamine dan mempunyai dua rekod jenayah lampau yang melibatkan penyalahgunaan dadah.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seorang wanita bersuami dengan niat jenayah.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 188 kanun sama kerana mengingkari suatu perintah yang diisytiharkan oleh seorang penjawat awam serta Seksyen 186 juga kanun sama kerana menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugas,” jelasnya lagi.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.