fbpx
Now Reading
BNM Umum Naikkan OPR Dari 1.75 Kepada 2%

BNM Umum Naikkan OPR Dari 1.75 Kepada 2%

OPR sebelum ini berada pada paras 1.75% sejak Julai 2020 yang lalu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memutuskan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus.

Difahamkan keputusan menaikkan kadar tersebut dilakukan sewaktu mesyuarat MPC yang berlangsung pada Rabu, 11 Mei.

BNM menerusi satu kenyataan di laman sesawang mereka turut memaklumkan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR juga dinaikkan iaitu kepada 2.25% dan 1.75%.

Tambahnya, kenaikan kadar tersebut antara lain didorong oleh pembukaan semula ekonomi global dan penambahbaikan dalam pasaran pekerja sekaligus menyokong kegiatan ekonomi.

“Perkara ini telah mengurangkan sebahagian daripada kesan konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

“Dengan pertumbuhan dalam negara yang semakin kukuh, MPC mengambil keputusan untuk mula mengurangkan tahap akomodasi monetari,” menurut kenyataan itu.

Bank pusat itu turut menjangkakan peralihan ke fasa endemik pada 1 April 2022 akan terus memperkukuhkan kegiatan ekonomi, sejajar dengan pelonggaran sekatan selanjutnya dan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

“Memandangkan peningkatan kegiatan ekonomi dalam keadaan tekanan kos yang berlarutan, inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras dijangka meningkat untuk mencatatkan purata antara 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2022.

“Bagaimanapun, tekanan harga meningkat akan dibendung sebahagiannya oleh kawalan harga yang sedia ada dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi,” kata BNM lagi.

OPR sebelum ini berada pada paras 1.75% sejak Julai 2020 yang lalu, namun banyak pihak yang sudah menjangkakan ia bakal dinaikkan dalam masa terdekat.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.