Nahas Pesawat China Eastern MU5375 Mungkin Disengajakan, Kata Penyiasat AS
Mungkin seseorang yang berada di dalam kokpit memang berniat untuk menjatuhkan pesawat tersebut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Nahas pesawat China Eastern yang mengorbankan 132 penumpang dan kru kapal pada Mac lalu dipercayai disengajakan.
Penyiasat Amerika Syarikat (AS) percaya seseorang yang berada di dalam kokpit pesawat itu dengan sengajanya menyebabkan pesawat itu terhempas, lapor Wall Street Journal pada Selasa, 17 Mei.
Penerbangan China Eastern MU5375 yang dalam perjalanan dari Kunming ke Guangzhou pada 21 Mac secara tiba-tiba menjunam dari ketinggian 29,000 kaki ke lereng gunung, yang menyebabkan kesemua 132 orang di dalamnya terkorban.
Data menunjukkan bahawa seseorang – mungkin juruterbang atau sesiapa yang menceroboh masuk ke dalam kokpit – telah memasukkan input yang dipercayai menjadi punca jatuhnya pesawat Boeing 737-800 itu.
Pesawat itu melakukan apa yang diarahkan oleh seseorang di dalam kokpit.
Pegawai penyiasat AS percaya kesimpulan mereka disokong oleh fakta bahawa penyiasat China buat masa ini tidak menunjukkan sebarang masalah dengan pesawat atau kawalan penerbangan yang boleh menyebabkan kemalangan.
Namun difahamkan, kedua-dua Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) AS dan Boeing enggan mengulas mengenai laporan siasatan itu.
Menurut laporan daripada Boeing, pasukan penyiasat tidak menemui bukti berlaku “insiden yang tidak normal,” kata Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) pada April.
Dalam satu kenyataan, CAAC berkata kru penerbangan telah memenuhi keperluan keselamatan seperti biasa sebelum berlepas.
Tambahnya, pesawat itu juga tidak membawa barangan berbahaya manakala cuaca pada hari kejadian dalam keadaan baik.
Tragedi malang itu disifatkan sebagai bencana udara paling dahsyat di China dalam beberapa dekad.
Kredit gambar : Malaymail/Xinhua