fbpx
Now Reading
“Kepala & Badan Dipijak” – Bapa Kecewa Anak Dibuli 10 Pelajar, Tapi Pengetua Kata Boleh Settle

“Kepala & Badan Dipijak” – Bapa Kecewa Anak Dibuli 10 Pelajar, Tapi Pengetua Kata Boleh Settle

Si bapa menegaskan yang dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pembuli dan pihak sekolah sekiranya isu berkenaan dibiarkan begitu sahaja.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kerana terlalu kecewa anaknya dipukul dan dibuli oleh 10 rakan sekolah, seorang bapa nekad mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pelajar terlibat dan guru di sebuah sekolah menengah di daerah Petaling Jaya.

Menerusi laporan Harian Metro, lelaki berusia 52 tahun itu mendedahkan anaknya telah diserang oleh kira-kira sepuluh orang pelajar di padang sekolah pada jam 9.40 pagi, 11 Mei lalu.

“Ada pelajar memaklumkan mahu bertemu anak saya di padang sekolah itu dan apabila sampai, dia dikelilingi kira-kira 10 pelajar lain.

“Mereka kemudian memaki dan menjerit pada anak saya dengan seorang daripada mereka menolaknya,” katanya.

Kepala ditendang dan dipijak seperti bola

Pelajar berusia 16 tahun itu kemudiannya ditumbuk di muka sebelum terjatuh. Peluang itu diambil oleh pembuli-pembuli berkenaan untuk menendang dan memijak kepalanya.

“Anak saya memaklumkan sekumpulan pelajar itu menendang kepalanya seperti bola sepak dan perkara itu amat menyayat hati saya.

Meskipun ada pelajar lain yang cuba membantu, mereka gagal menghalang perbuatan para pembuli.

Anaknya bagaimanapun berjaya melepaskan diri dan pergi ke pejabat pengetua untuk membuat aduan.

“Apabila saya bertemu pengetua, dia memaklumkan bahawa masalah ini boleh diselesaikan dan ia menyebabkan saya terkedu. Bagaimana perkara sebesar ini boleh diselesaikan begitu saja tanpa ada tindakan diambil.

“Kejadian itu menyebabkan anak saya mengalami kecederaan pada bahagian kepala, tangan, badan dan kaki kiri,” katanya sambil menjelaskan anaknya masih lagi belum sembuh ekoran dari apa yang terjadi.

Sudah buat 2 laporan polis

Menurut bapa itu lagi, dia setakat ini sudah membuat dua laporan polis kerana mahu tindakan diambil terhadap kumpulan pelajar berkenaan. Apatah lagi ini bukan kejadian pertama anaknya dibuli.

“Pada 2019, dia turut dibuli dan apabila saya pergi ke sekolah, guru memaklumkan mereka (anak dan pembuli) sudah berbaik.

“Malah pada tahun sama, seorang daripada pelajar berkenaan mengugutnya menggunakan pisau tetapi dia tidak memaklumkan kepada saya sehingga April 2020 menyebabkan saya menghubungi pihak sekolah supaya tindakan diambil.

“Pada Julai (2020), saya dimaklumkan pihak sekolah bahawa pelajar berkenaan tidak lagi datang ke sekolah. Itu bukan alasan untuk tiada tindakan diambil terhadapnya,” katanya.

Tegasnya lagi, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pembuli dan pihak sekolah sekiranya isu berkenaan dibiarkan begitu sahaja.

“Saya sedang meneliti beberapa langkah yang akan diambil dalam isu ini dan berhasrat tidak mahu menghantar anak ke sekolah berkenaan,” katanya.

Polis sahkan insiden berlaku

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Fakrudin Abdul Hamid mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kami sudah mengambil keterangan mangsa dan beberapa saksi termasuk guru. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.