fbpx
Now Reading
Mahu Atasi Kekurangan Bekalan, Kerajaan Henti Eksport Ayam Bermula 1 Jun
Kerajaan hentikan eksport ayam 1 jun

Mahu Atasi Kekurangan Bekalan, Kerajaan Henti Eksport Ayam Bermula 1 Jun

Berikutan dengan isu bekalan ayam, kerajaan telah bertindak untuk menghentikan eksport 3.6 juta ayam sebulan bermula 1 Jun ini.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kerajaan kini telah memutuskan bagi menghentikan eksport ayam berjumlah 3.6 juta ekor sebulan berkuat kuasa 1 Jun sehingga pengeluaran bekalan ayam dan harga pulih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hal tersebut ialah salah satu daripada langkah masa pendek yang dicapai dalam mesyuarat Kabinet semalam (23 Mei), lapor Kosmo.

Kerajaan wujudkan stok penimbal ayam dan optimumkan fasiliti

Selain itu, kerajaan juga akan mewujudkan stok penimbal ayam serta mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk yang sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensinya.

Langkah seterusnya pula, adalah untuk memudahkan proses tuntunan subsidi dari pengeluar ayam serta menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara untuk memastikan peningkatan pengeluaran bekalan ayam.

Sedar laporan wujud kartel ayam kawal harga

“Kerajaan sedar terdapat laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar.

“Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat perkara ini dan siasatan dijangka selesai pada bulan Jun,” ulasnya.

Jelas beliau lagi, sekiranya didapati wujud kesepakatan kartel terbabit, tindakan undang-undang akan diambil oleh kerajaan terhadap mereka.

Kerajaan akan kurangkan peranan orang tengah

“Pada masa sama, kerajaan akan mengurangkan peranan orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga.

“Kerajaan akan memperkenalkan semula Jihad memerangi orang tengah yang telah saya perkenalkan pada tahun 2014,” jelasnya.

Peranan ini difahamkan akan diketuai oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Jagung sebagai makanan alternatif ayam

Tambahnya lagi, mesyuarat Kabinet turut menerima pandangan dari Ahli Jemaah Menteri berkenaan penanaman jagung, untuk dijadikan makanan alternatif kepada ayam.

“Mesyuarat juga bersetuju meminta kerjasama kerajaan Negeri, agensi Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) bagi jangka masa panjang.

“MAFI dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah diminta membentangkan pelan-pelan tersebut dalam masa terdekat bagi projek penanaman jagung dan sebagainya,” ulas Perdana Menteri.

Kerajaan galakkan GLC, agensi, Pertubuhan Peladang terlibat dalam ternakan ayam

Beliau berkata kerajaan dalam masa sama turut menggalakkan GLC, agensi kerajaan, Pertubuhan Peladang dan Koperasi untuk turut terlibat dalam penternakan ayam.

“Kerajaan akan mengkaji dari segi bantuan kepada mereka yang terlibat. Ini merupakan sebahagian pelan jangka sederhana dan panjang yang akan dirangka oleh MAFI dan KPDNHEP,” kata Ismail Sabri.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.