fbpx
Now Reading
Pembantu Kedai Makan Buang Patung Hiasan Ke Dalam Tong Sampah Didenda RM2,500

Pembantu Kedai Makan Buang Patung Hiasan Ke Dalam Tong Sampah Didenda RM2,500

Remaja berusia 23 tahun itu juga mengaku pernah membuang serta membakar patung yang lain.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang pembantu kedai makan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Kulai, Johor, semalam (23 Mei) selepas mengaku bersalah mengambil dan membuang patung hiasan pada pancutan air di sebuah rumah ke dalam tong sampah.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin, terhadap tertuduh, Gabriele Jungkak Anak Steward, 23 tahun yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya. Tertuduh juga boleh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, pemuda itu didakwa melakukan khianat dengan sengaja mengambil patung hiasan pancutan air milik seorang lelaki berusia 33 tahun yang bersambung dengan paip kecil sehingga tercabut dan rosak sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

Ia menyebabkan mangsa menanggung kos kerugian bernilai RM25.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Scientex, Senai, Johor, kira-kira jam 9 pagi, pada 15 Mei lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengaku pernah buang patung di kawasan lain

Sebelum hukuman dijatuhkan, Gabriele Jungkak dalam rayuannya berkata, dia bertindak membuang patung hiasan itu kerana ia mengganggunya selain mendakwa pernah membuang serta membakar patung lain di kawasan lain.

Sharifah Maleeha bagaimanapun menasihati lelaki terbabit supaya tidak mensia-siakan hidupnya selain belajar untuk hidup berjiran.

Media sebelum ini melaporkan dia telah ditahan polis selepas satu video kamera litar tertutup (CCTV) memperlihatkan dia membuang sebuah patung di Taman Scientex, Senai tular di media sosial.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.