
Tiada Notifikasi Berkenaan Kes Virus Monkeypox Di Malaysia Setakat Ini – KKM
Sekiranya gambar itu adalah benar, waris kepada kanak-kanak itu dinasihati untuk membawanya ke fasiliti kesihatan kerajaan berdekatan dengan segera.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kementerian Kesihatan (KKM) belum menerima notifikasi berkenaan kes membabitkan individu yang dijangkiti virus cacar monyet (monkeypox), di negara ini.
Menerusi satu ciapan di Twitter, KKM berkata, ini termasuk satu mesej tular di media sosial yang mendakwa seorang kanak-kanak dijangkiti virus cacar monyet.
“Sekiranya gambar itu adalah benar, waris kepada kanak-kanak itu dinasihati untuk membawanya ke fasiliti kesihatan kerajaan berdekatan dengan segera untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan,” katanya.
Jangan sebarkan berita yang tidak sahih
Orang ramai dinasihati supaya tidak menularkan berita yang tidak diketahui kesahihannya, sebaliknya menasihati pesakit atau waris untuk mendapatkan nasihat perubatan terlebih dahulu berkaitan penyakit atau lain-lain masalah kesihatan.
Sejak semalam (24 Mei) tular satu gambar kanak-kanak di media yang dikaitkan kononnya kes dijangkiti virus cacar monyet di negara ini.
Sehingga 24 Mei 2022 jam 5.00 petang, KKM tidak menerima sebarang notifikasi berkenaan kes yang dijangkiti virus monkeypox atau kes kanak-kanak yang dikatakan dijangkiti virus monkeypox seperti dalam mesej beserta gambar yang ditularkan dalam media sosial. pic.twitter.com/CVdSwpBCAb
— KKMalaysia🇲🇾😷 (@KKMPutrajaya) May 24, 2022
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini menjelaskan, risiko virus cacar monyet tersebar ke Malaysia adalah rendah, kecuali jika seseorang individu itu ada sejarah bersentuhan dengan haiwan dijangkiti atau kontak langsung dengan pesakitnya.
Beliau berkata, kemungkinan transmisi jangkitan virus itu dari manusia ke manusia adalah terhad.
Media melaporkan wabak cacar monyet direkod di beberapa negara benua Eropah seperti United Kingdom (UK), Sepanyol, Portugal, Belgium, Perancis, Itali dan Jerman, selain Amerika Syarikat (AS), Kanada serta Australia.
Setakat dua hari lepas, lebih 100 kes dilaporkan sama ada yang disahkan mahupun disyaki, kebanyakan jangkitan tidak melaporkan sejarah perjalanan ke negara yang diketahui endemik penyakit itu.
Laporan awal menyatakan sebahagian kes terbabit mendapat jangkitan melalui kontak langsung dengan pesakit cacar monyet.
Baca artikel berkaitan: Wabak Cacar Monyet: Lebih Banyak Kes Yang Akan Dikesan Di Seluruh Dunia