Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Sejak semalam, 30 Mei tular sebuah video di media sosial yang menunjukkan pergaduhan yang melibatkan orang awam dan seorang pengawal keselamatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.
Difahamkan pergaduhan tersebut berlaku akibat rasa tidak puas hati orang awam dengan tindakan pengawal keselamatan yang melengahkan masa pertukaran penjaga di wad di situ, lapor Utusan Malaysia.
Menerusi video berdurasi 10 saat, jelas berlaku pergaduhan melibatkan sekumpulan individu dengan seorang pengawal keselamatan di hadapan bangunan utama Hoshas.
Pengawal keselamatan bertengkar dengan pelawat
Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusoff, siasatan awal mendapati insiden bermula kira-kira jam 1.30 petang apabila seorang pengawal keselamatan hospital berkenaan bertengkar dengan beberapa pelawat hospital yang menjaga pesakit.
“Kejadian berpunca daripada pelawat hospital yang tidak berpuas hati dengan pengawal keselamatan hospital yang melengahkan waktu pertukaran pertukaran penjaga di Wad Kenanga 14.
Satu kertas siasatan dibuka
“Susulan itu, pihak polis membuka satu kertas siasatan Seksyen 323 Kanun Keseksaan ekoran daripada insiden berkenaan,” jelasnya.
Menurut beliau, pada ketika ini pihak polis sedang giat mencari mereka yang terlibat dalam insiden pergaduhan tersebut serta meminta orang ramai yang melihat insiden tersebut tampil untuk menyalurkan maklumat kepada polis.