fbpx
Now Reading
48 Jam Selepas Lawatan MB Johor, Jalan Di HSA Telah Diturap & Dibaik Pulih
Jalan Diturap HSA

48 Jam Selepas Lawatan MB Johor, Jalan Di HSA Telah Diturap & Dibaik Pulih

Ahad lalu, Datuk Onn Hafiz mengadakan lawatan mengejut ke HSA bagi melihat sendiri keadaan fasiliti, jalanraya dan landskap di sekitar hospital itu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kurang daripada 48 jam selepas lawatan mengejut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang meninjau keadaan jalan dan kemudahan di sekitar Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru , syarikat konsesi terlibat sudah pun mengambil tindakan dengan membaik pulih jalan di hospital berkenaan.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh MB Johor itu menerusi satu muat naik di laman Facebook miliknya.

Foto: Facebook

“Hasil lawatan saya pagi ini ke HSA Johor Bahru, mendapati kerja baik pulih jalan sepanjang 120 meter di hadapan poliklinik di hospital itu sudah bermula dan akan diteruskan hari ini.

“Pada masa sama, hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi meluluskan peruntukan bagi kerja baik pulih bekalan elektrik, sistem elektrik dan mekanikal di HSA.

“Terima kasih kepada YB Khairy Jamaluddin (Menteri Kesihatan), YB Ling Tian Soon (EXCO Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor) KKM dan semua pihak yang berusaha membantu rakyat.

“Insya-Allah, semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya di kapsyen.

Mengadakan lawatan mengejut

Ahad lalu (29 Mei), Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, dilaporkan mengadakan lawatan mengejut ke HSA, antara hospital awam tersibuk di Malaysia.

Foto: Facebook

Beliau dikatakan melihat sendiri keadaan jalan raya, fasiliti dan landskap di sekitar HSA. Beliau turut menghubungi Menteri Kesihatan secara peribadi mengenai situasi hospital itu.

“Kami telah meminta syarikat konsesi yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan segera bagi membaik pulih jalan-jalan di sekitar hospital serta memperindahkan semula landskap hospital ini.

“Kerja baik pulih dicadangkan dibuat pada waktu malam supaya tidak mengganggu urusan pesakit pada sebelah siang.

“Selain itu, saya telah menghubungi EPU dan JKR agar peruntukan bagi menaik taraf fasiliti dan kemudahan HSA dapat diluluskan segera,” ujarnya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.