fbpx
Now Reading
Akibat Pukul Anak Pakai Penyapu, Pasangan Suami Isteri Didenda RM14,000
pukul anak

Akibat Pukul Anak Pakai Penyapu, Pasangan Suami Isteri Didenda RM14,000

Perbuatan itu dipercayai dilakukan tertuduh di rumah mereka di Taman Bukit Rambai

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sepasang suami isteri didenda RM14,000 oleh Mahkamah Seksyen Ayer Keroh, Melaka hari ini (1 Jun) selepas mengaku bersalah mengabai dan memukul anak mereka dengan penggunakan penyapu dan tali pinggang hingga cedera, tahun lalu.

Hakim Hariman Badruddin menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut dua pertuduhan, ibu bapa mangsa telah memukul anak mereka yang berusia 14 tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Tertuduh melakukan perbuatan tersebut di rumah mereka di Taman Bukit Rambai sekitar jam 7 pagi hingga 6 petang pada 16 April 2021 dan antara 6 pagi hingga 8 pagi pada 19 April tahun sama.

Perbuatan tersebut menyebabkan mereka didakwa mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 34 kanun keseksaan atas tindakan memukul hingga cedera.

Disedari oleh guru sekolah

Mengikut fakta kes, kejadian disedari oleh guru sekolah mangsa apabila remaja terbabit meluahkan kepada guru tersebut dia telah dipukul oleh ayahnya.

Remaja terbabit telah dibawa ke hospital dan rawatan lanjut mengesan pelbagai kesan kecederaan baru dan lama di seluruh badannya.

Pihak polis kemudian memberkas ibu bapa mangsa pada 22 April 2021, selain merampas sebatang penyapu, segulung tali pinggang dan pemukul lalat yang digunakan untuk memukul mangsa.

Merayu hukuman diringankan

Peguam Mohamed Fozi Md. Zain yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar hukuman dapat diringankan atas alasan perbuatan itu didorong oleh tekanan kehidupan dialami pasangan itu.

Menurutnya, si suami hanya melakukan kerja-kerja kampung, manakala isteri pula mencari nafkah dengan menjual produk karipap sejuk beku.

Namun Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari memohon hukuman berat dikenakan sebagai berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Beliau turut mencadangkan hukuman tambahan yang memerintahkan orang disabitkan kesalahan menyempurnakan satu bon dan penjamin dengan apa-apa tempoh dan sebarang syarat mahkamah melalui khidmat masyarakat.

Hakim putuskan denda

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,500 masing-masing bagi pertuduhan satu dan dua terhadap setiap tertuduh atau penjara enam bulan jika gagal bayar.

Hakim turut memerintahkan pasangan suami isteri itu dikenakan bon jaminan RM2,000 dan seorang penjamin tanpa cagaran dengan syarat tambahan tidak boleh melakukan sebarang pengabaian di bawah jagaan mereka.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.