fbpx
Now Reading
Mayat Wanita Terbakar Tanpa Identiti Ditemukan Di Tepi Sungai Kuala Kangsar
mayat bakar

Mayat Wanita Terbakar Tanpa Identiti Ditemukan Di Tepi Sungai Kuala Kangsar

Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa telah mati dibunuh dan dibakar di lokasi sama.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Mayat seorang wanita tanpa identiti ditemukan dalam keadaan terbakar di tepi Sungai Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar, semalam (31 Mei).

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu pada jam 3.05 petang oleh orang awam.

Menurutnya lagi, hasil pemeriksaan awal yang dilakukan pihaknya mendapati mangsa telah mati dibunuh dan dibakar di lokasi yang sama.

“Polis Daerah Kuala Kangsar hadir ke lokasi kejadian dan mengesahkan penemuan berkenaan.

“Unit Forensik (D10) dan Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak turut tiba di lokasi bagi membantu siasatan.

“Daripada penelitian awal berdasarkan fizikal, mangsa dipercayai seorang wanita berbangsa India. Bagaimanapun identiti sebenar mangsa belum dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada masa yang sama, Mior Faridalathrash berkata mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar bagi proses bedah siasat.

Ujarnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian mahupun kehilangan ahli keluarga supaya tampil berhubung dengan mana-mana balai polis terdekat.

“Maklumat juga boleh disampaikan dengan terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Subkey Alias di talian 013-9285436,” katanya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.