fbpx
Now Reading
Harga Maksimum Ayam & Telur Dilanjutkan Sehingga 30 Jun – KPDNHEP

Harga Maksimum Ayam & Telur Dilanjutkan Sehingga 30 Jun – KPDNHEP

Pelanjutan tempoh ini adalah untuk memastikan Keluarga Malaysia bersedia dengan perubahan harga apabila penentuan harga ini berakhir pada 30 Jun nanti.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan harga maksimum runcit ayam standard, ayam super dan telur ayam menerusi penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam hingga 30 Jun.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelanjutan itu diputuskan oleh Kabinet pada mesyuarat mingguannya pada Rabu (1 Jun).

“Pelanjutan tempoh ini adalah untuk memastikan Keluarga Malaysia bersedia dengan perubahan harga apabila penentuan harga ini berakhir pada 30 Jun 2022 nanti,” kata Nanta dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi kawasan Semenanjung Malaysia, harga ayam standard ditetapkan pada RM8.90 sekilogram dan harga ayam super keseluruhan ialah RM9.90 sekilogram, manakala harga siling bagi telur gred A ditetapkan pada 43 sen sebiji, telur gred B pada 41 sen dan gred C pada 39 sen.

Bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan pula , harga maksimum ayam dan telur adalah berbeza mengikut zon dan daerah.

Menurut Nanta, Kementerian Kewangan akan meneliti cadangan pemberian bantuan bagi golongan sasar berpendapatan rendah termasuk kadar dan mekanisme penyaluran bantuan bagi menangani kenaikan harga barang yang akan berlaku kelak.

Menurutnya lagi, pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus meningkatkan penguatkuasaan di seluruh negara pada setiap pasa bagi memastikan bekalan makanan sentiasa stabil.

“Kerajaan mengingatkan kepada komuniti peniaga supaya sentiasa beretika dalam menjalankan perniagaan dan tidak mencatut untuk mengaut keuntungan yang tidak munasabah,” ujarnya.

Nanta turut menyeru agar pengguna menggunakan kuasa beli mereka dalam membeli mengikut keperluan dan berbelanja secara berhemah.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.