fbpx
Now Reading
Padah Pamer Aksi Hisap Dadah Di Media Sosial, Tokan Dadah Dicekup Polis

Padah Pamer Aksi Hisap Dadah Di Media Sosial, Tokan Dadah Dicekup Polis

Suspek turut mempunyai 16 rekod kesalahan lampau dengan sebahagian besar melibatkan penyalahgunaan dadah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Aktiviti menagih dadah yang dirakam dan dimuat naik ke laman Facebook (FB) akhirnya membawa kepada penangkapan seorang lelaki di Chenderong Balai, Hilir Perak, semalam (8 Jun).

Suspek yang berusia 46 tahun itu berjaya ditahan oleh pasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sekitar jam 5 petang selepas videonya melakukan aktiviti tersebut tular di laman FB ‘I Love Teluk Intan’.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, tangkapan itu dibuat hasil maklumat yang dikongsi menerusi video berkenaan.

Polis rampas empat plastik dipercayai berisi heroin

Menurutnya, pihak polis turut merampas empat plastik berisi dadah dipercayai jenis heroin seberat 27.75 gram bernilai RM832.50 yang dijumpai dalam beg sandang milik suspek.

“Penahanan dilakukan susulan video tular aktiviti menghisap dadah oleh seorang lelaki di laman Facebook. Suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Apoi’ di kawasan Pekan Langkap.

“Usaha mengesan pengedar berkenaan sedang giat dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Adnan berkata, saringan awal ujian air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis morfin.

Suspek turut mempunyai 16 rekod kesalahan lampau

Menurutnya lagi, semakan rekod pula mendapati suspek yang juga penganggur mempunyai 16 kesalahan lampau dengan sebahagian besarnya berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” ujarnya lagi.

Terdahulu, satu rakaman video tular di FB memaparkan sorang lelaki dipercayai sedang menghisap dadah yang dirakam seorang individu.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, suspek merupakan tokan dadah di kawasan Chenderong Balai dan menjual dadah kepada remaja bawah umur.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.