fbpx
Now Reading
Bertengkar Pasal Tanam Pokok, Warga Emas Maut Dipukul Jiran

Bertengkar Pasal Tanam Pokok, Warga Emas Maut Dipukul Jiran

Suspek dikatakan memarahi mangsa kerana menanam pokok di kawasan jalan sehingga menyebabkan kenderaannya sukar melalui laluan tersebut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang warga emas maut dipukul jirannya dengan menggunakan sebatang kayu selepas berlaku perselisihan faham antara mereka mengenai tanaman pokok di kawasan rumah mereka di Jalan Kelochor, Kelantan, semalam (9 Jun).

Mangsa yang berusia dalam lingkungan 60-an ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri oleh isterinya di bahagian dapur rumah.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 12.20 tengah hari dan siasatan awal mendapati berlaku salah faham antara mangsa dan jirannya yang juga berusia lingkungan 60-an.

Tanaman pokok menyukarkan laluan kenderaan suspek

Menurut Muhammad Zaki, lelaki itu dikatakan memarahi mangsa kerana menanam pokok di kawasan jalan sehingga menyebabkan kenderaan suspek sukar melalui laluan tersebut.

“Suspek yang tidak berpuas hati mengambil sebatang kayu sebelum memukul mangsa yang tinggal bersama isteri dan seorang anaknya.

“Mangsa mengalami luka dan bengkak pada bahagian belakang kepala selain kesan calar pada tangan dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.

Maut akibat serangan jantung dan kecederaan

Hasil bedah siasat mendapati warga emas itu meninggal dunia akibat serangan jantung dan kecederaan yang dialami.

Suspek yang mengaku akan perbuatannya telah ditahan dan pihak polis turut merampas sebatang kayu yang digunakan untuk memukul mangsa.

Bagaimanapun, ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.