fbpx
Now Reading
Imam Surau Di Melaka Didakwa Bogel Depan Kanak-Kanak & Remaja Perempuan

Imam Surau Di Melaka Didakwa Bogel Depan Kanak-Kanak & Remaja Perempuan

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM22,000 dengan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang imam sebuah surau di Limbongan, Melaka, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh semalam (14 Jun), atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual di hadapan kanak-kanak dan remaja perempuan.

Tertuduh yang berusia 60 tahun itu didakwa melakukan kesalahan berbogel di hadapan kanak-kanak yang berusia empat tahun dan remaja perempuan yang berusia 13 tahun di sebuah surau pada 28 Mei lalu.

Semalam, lelaki berkenaan berhadapan dua pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Manakala bagi Seksyen 15(a)(i) kesalahan yang sama memperuntukkan hukuman penjara selama 10 tahun atau denda sebanyak RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

3 pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia empat tahun di surau berkenaan antara 3.30 petang hingga 6 petang, pada 28 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang sama terhadap remaja berusia 13 tahun antara 5 petang hingga 5.30 petang di stor surau pada hari yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap kedua-dua mangsa di tempat dan waktu yang sama.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Mustapa.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM22,000 dengan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa.

Memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh turut didakwa memiliki bahan lucah dalam telefon bimbitnya di balai polis Melaka Tengah pada pukul 8.45 malam, 2 Jun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM1,000.

Semua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Julai depan bagi serahan dokumen.

Kredit gambar: Utusan Malaysia

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.