Seorang lelaki warganegara Malaysia ditembak di Sungai Golok oleh penduduk Thailand selepas dia memenangi perlawanan laga ayam pada Sabtu lalu (11 Jun).
Menurut laporan Kosmo yang memetik Thaiger, lelaki tersebut masuk ke Thailand secara haram untuk menghadiri satu acara laga ayam.
Namun nasibnya tidak berapa baik apabila dicederakan di saat dia bergelar seorang pendatang haram.
Ekoran dari serangan itu, lelaki berusia 36 itu terpaksa berenang kembali ke Malaysia dalam keadaan berlumuran darah bagi menyelamatkan dirinya.
Difahamkan insiden bermula apabila ayam laga kepunyaan lelaki tersebut telah memenangi pertarungan yang disertainya.
Ini membuatkan sekumpulan penduduk Thailand menjadi berang lalu menembaknya ketika dia dalam perjalanan pulang.
Mangsa yang dalam keadaan cedera parah bagaimanapun terpaksa berenang pulang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan kerana bimbang akan timbul masalah lain dengan pihak berkuasa Thailand kerana kemasukannya ke negara itu adalah secara haram.
Terdahulu, dia dikatakan pergi ke Thailand untuk menghadiri acara laga ayam yang diadakan di seberang Sungai Golok.
Masuk Thailand secara haram kerana nak jimat masa
Disebabkan tidak mahu terlepas acara pembukaan, dia memilih untuk memasuki Thailand melalui satu jeti di Rantau Panjang secara haram untuk menjimatkan masa meskipun rakannya yang lain menggunakan laluan yang sah.
Malangnya, nasib tidak memihak kepadanya apabila dia ditembak sebanyak tiga das oleh sekumpulan penduduk tempatan.
Salah satu tembakan itu mengenai bahagian tangannya.
Kredit gambar: Top-Rated.Online