Ahli keluarga kepada pengasas produk Dnars Skincare telah tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk menuntut siasatan lebih terperinci dilakukan berkenaan kematian Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad yang maut semasa kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand, pada 18 Mei 2019 yang lalu.
Memetik laporan Utusan Malaysia, ahli keluarganya memaklumkan laporan tersebut dilakukan selepas pihaknya mengesyaki terdapat unsur-unsur lain berhubung kematian arwah.
Lantik peguam lepas Allahyarham meninggal dunia
Katanya, selepas kematian Faziani, ahli keluarga telah melantik peguam bagi mendapatkan informasi berkaitan insiden itu sejak tiga tahun yang lepas.
“Hasil maklumat yang diperoleh peguam mendapati kematian Allahyarham diragui dan kami mengesyaki kematian Allahyarham bukan disebabkan kemalangan semata-mata.
Ada unsur lain
“Sebaliknya ada unsur lain, oleh itu kami tampil ke IPD Tumpat pada pukul 1 petang hari ini untuk membuat laporan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah mengesahkan ada menerima laporan polis yang dibuat keluarga arwah.
Meninggal dunia selepas terlibat dalam sebuah kemalangan di Thailand
Terdahulu, media melaporkan Faziani Rohban meninggal dunia kerana cedera parah, manakala suaminya Shah Rizal Ibrahim cedera selepas mereka terlibat dalam kemalangan di Pattani, Thailand.
Kemalangan tersebut melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki oleh mangsa dengan sebuah lori. Allahyarhamah dipercayai sedang dalam perjalanan ke sebuah pondok di Yala, Thailand, untuk menyampaikan sumbangan, lapor Berita Harian.