fbpx
Now Reading
Wakil Rakyat Johor Cadang Kerja 4 Hari Seminggu, 3 Hari Hujung Minggu

Wakil Rakyat Johor Cadang Kerja 4 Hari Seminggu, 3 Hari Hujung Minggu

ADUN Pasir Raja itu turut berkata adalah lebih baik untuk menyeragamkan hari rehat antara kerajaan dan swasta bagi memastikan kesejahteraan keluarga.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor mencadangkan agar kerajaan negeri menerima pakai sistem bekerja empat hari seminggu dengan baki tiga hari sebagai hujung minggu.

Menurut laporan The Star, ADUN Pasir Raja, Nor Rashidah Ismail berkata, memandangkan hari rehat berbeza bagi penjawat awam, pekerja swasta dan pelajar sekolah, keluarga tidak boleh mempunyai masa berkualiti bersama.

“Penyeragaman hari rehat semua rakyat di Johor adalah penting untuk kesejahteraan mereka,” katanya pada perbahasan titah Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di Dewan Undangan Negeri di Kota Iskandar, semalam (20 Jun).

Kerja dari Isnin hingga Khamis dengan tambahan 1 jam waktu bekerja dan jumaat separuh hari

Menurutnya lagi, negara seperti Belgium, Iceland, Scotland, Sepanyol, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sudah mula melaksanakan sistem bekerja empat hari seminggu.

“Jika produktiviti menjadi subjek perdebatan, maka saya mencadangkan pilihan ini di mana kita bekerja sepenuh masa dari Isnin hingga Khamis dengan tambahan masa satu jam bekerja.

“Sekiranya waktu bekerja 8 pagi hingga 5 petang sebelum ini, maka pelaksanaan cadangan ini akan menyaksikan waktu bekerja dari 8 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Khamis.

“Kemudian akan ada waktu bekerja setengah hari pada hari Jumaat, iaitu dari 8 pagi hingga tengah hari di mana pekerja Islam masih boleh menunaikan fardhu solat Jumaat mereka dengan selesa,” tambahnya.

Sementara itu, ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung menggesa kerajaan negeri menyegerakan semakan isu hari rehat supaya ia dapat dipersembahkan kepada Sultan Johor.

“Negeri adalah antara penyumbang utama kepada ekonomi negara. Penyeragaman hari rehat dengan badan swasta akan meningkatkan produktiviti, kecekapan dan sektor pelancongan Johor.”

ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung

Dalam pada itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri akan menyemak semula hari rehat negeri itu, yang kini jatuh pada hari Jumaat dan Sabtu, supaya ibu bapa dan anak-anak mereka boleh bercuti pada masa yang sama.

Pada 2013, Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah mengisytiharkan pertukaran hari rehat negeri itu kepada Jumaat dan Sabtu berbanding Sabtu dan Ahad.

Selain Johor, negeri seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu turut mengamalkan cuti mingguan pada Jumaat dan Sabtu.

Baca artikel berkaitan:

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.