fbpx
Now Reading
Kawalan Harga Siling Ayam & Telur, Subsidi Minyak Masak Botol Dimansuhkan 1 Julai
Harga siling ayam & telur, subsidi minyak masak tidak akan diberikan lagi mulai 1 Julai

Kawalan Harga Siling Ayam & Telur, Subsidi Minyak Masak Botol Dimansuhkan 1 Julai

Mulai 1 Julai, kerajaan tidak lagi akan memberi subsidi minyak sawit tulen dalam botol bagi 2kg, 3kg dan 5kg.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexender Nanta Linggi semalam (21 Jun) mengumumkan kawalan harga siling ayam dan telur, serta subsidi minyak masak sawit tulen di dalam kemasan botol iaitu dua, tiga serta lima kilogram (kg) tidak lagi diteruskan mulai 1 Julai ini.

Perkara tersebut diumumkan dalam satu sidang media selepas mempengerusikan sesi libat urus dengan pemegang taruh industri ayam, lapor Bernama.

Pastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran lebih stabil

Menurut beliau, langkah tersebut dilaksanakan bagi memastikan bekalan bahan makanan di dalam pasaran lebih stabil serta dapat menstabilkan harga dalam jangka masa panjang.

“Harga ayam akan diapungkan dan akan tertakluk kepada kuasa pasaran. Golongan memerlukan akan dibantu nanti dengan bantuan wang tunai bersasar,” jelasnya sambil memaklumkan info lanjut mengenai bantuan wang bersasar itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan.

Kerajaan tetapkan harga maksimum runcit ayam & telur

Ketika ini kerajaan telah menetapkan harga maksimum runcit ayam serta telur bagi Semenanjung Malaysia untuk ayam bulat standard adalah RM8.90 sekilogram serta ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) adalah RM9.90 sekilogram.

Mulai 1 Julai, tiada lagi subsidi diberi kepada penternak ayam

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob, sebelum ini memaklumkan Putrajaya tidak lagi memberikan subsidi kepada penternak ayam berkuat kuasa 1 Julai. Susulan penamatan subsidi berkenaan, pihak penternak dilaporkan berharap kerajaan akan mengapungkan harga ayam.

Menerusi sidang media sama, Nanta turut menjelaskan bahawa subsidi minyak masak dalam bungkusan polibeg 1kg pada harga RM2.50 sepeket masih lagi diteruskan.

Menurutnya, berkenaan pemansuhan subsidi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol tersebut, subsidi barangan itu mencecah kepada RM20 juta sebulan.

“Sudah tiba masa ia dimansuhkan”

“Program ini adalah program sementara dan sepatutnya dilaksanakan dalam masa tiga bulan tetapi ia diteruskan hingga hari ini (21 Jun).

“Oleh itu, kerajaan rasakan sudah tiba masanya ia dimansuhkan supaya kerajaan boleh fokus untuk bantu golongan memerlukan,” jelasnya.

Beri jaminan harga ayam tak naik mendadak

Menerusi sesi libat urus, Nanta memaklumkan pemain industri ayam memberi jaminan bahawa kenaikan harga ayam tidak akan naik mendadak.

“Yang menarik untuk diterima adalah komitmen industri ini untuk bantu kerajaan dalam memastikan pengguna mendapat harga dan bekalan keperluan khususnya ayam dengan harga berpatutan dan stabil,” kata Nanta.

KPDNHEP akan ambil tindakan kepada yang menaikkan harga barang secara berlebihan

Walau bagaimanapun, beliau turut menegaskan bahawa KPDNHEP akan mengambil tindakan mengikut peraturan, jika ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan secara berlebihan.

“KPDNHEP akan gunakan akta anti pencatutan dan tidak teragak-agak mengenakan tindakan terhadap pemain industri jika langgar peraturan sedia ada,” jelasnya.

Rata-rata warganet meluahkan rasa marah dengan pengumuman tersebut

Perkara ini secara tidak langsung turut menarik perhatian warganet apabila rata-rata dilihat kurang berpuas hati dengan pengumuman tersebut.

“Bertambah seksa lah hidup rakyat,” kata Jai Yusop.

“Apa guna naikkan gaji min RM1500 kalau harga barang naik mendadak. Perbelanjaan bertambah lagi tinggi daripada pendapatan yang dapat, apa lagi orang yang bekerja sendiri sangat terkesan,” kata Myss Mimie.

“Bantuan bersasar pasti B40 sahaja yang dapat. Yang lain tidak terkesan ke? Bagi sama rata jika nak bagi bantuan,” luah Tenko Xinan.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.