Kenaikan Tarif Elektrik Tidak Dapat Dielak, Kerajaan Harus Pertimbangkan Subsidi Bersasar
Tarif elektrik akan lebih tinggi untuk pengguna memandangkan TNB menghadapi kos pengeluaran tenaga yang lebih tinggi berikutan kenaikan harga gas dan arang batu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kenaikan tarif eletrik tidak dapat dikawal kerana kos penjanaan elektrik telah meningkat dengan begitu mendadak dan pantas. Bagaimanapun, keperluan elektrik bagi golongan tertentu haruslah dipertimbangkan, kata ahli ekonomi.
Kenaikan ini tidak dapat dielak kerana permintaan tenaga melonjak naik, gangguan bahan api dan kekurangan minyak.
Selain itu, harga gas dan arang batu yang semakin meningkat naik di peringkat global juga telah menyebabkan harga tenaga global melambung tinggi.
Tindakan harus diambil untuk memastikan perniagaan berpendapatan rendah dan kecil tidak mengalami kenaikan harga elektrik lagi apabila semakan tarif dibuat.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, tarif akan lebih tinggi buat isi rumah kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) berdepan kos pengeluaran tenaga yang tinggi berikutan kenaikan harga gas dan arang batu.
Pada akhir tahun lalu, harga arang batu melonjak kepada AS$200 (RM881) satu tan berbanding pada pertengahan tahun 2020 iaitu sekitar AS$50 (RM220) satu tan.
Arang batu antara penyumbang terbesar sumber penjanaan elektrik
Untuk pengetahuan umum, arang batu menyumbang sebanyak 59% daripada sumber utama penjanaan eletrik dan menjelang akhir bulan Mei baru-baru ini harga arang sekali lagi meningkat kepada AS$434 (RM1912) satu tan.
“(TNB) perlu memastikan perniagaan itu mampan (sebagai entiti korporat) tetapi saya berharap akan ada beberapa bentuk subsidi disasarkan untuk kumpulan 40 terbawah (B40) berhubung tarif elektrik.”
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff
Kerajaan perlu campur tangan beri subsidi
Justeru, beliau mencadangkan agar pihak kerajaan turut campur tangan memberikan subsidi buat TNB dalam jangka pendek untuk memastikan pengguna tidak terlalu terbeban.
TNB juga seharusnya mempelbagaikan sumber gas dan arang batu, manakala bagi tempoh jangka panjang pula, TNB perlu memberi tumpuan pada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro, dan biofuel.
TNB Fuel Services Sdn Bhd memperoleh arang batu dari Indonesia, Australia, Afrika Selatan dan Rusia, namun Indonesia antara penyumbang terbesar kira-kira 65% daripada keperluan arang batu TNB.
Faktor pasaran antarabangsa di luar kawalan Malaysia
Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology (MUST), Geoffrey Williams pula berkata, kenaikan tarif tidak dapat dielak kerana faktor pasaran antarabangsa di luar kawalan Malaysia.
“Kenaikan tarif akan membawa kepada inflasi yang lebih tinggi kerana ia memberi kesan kepada semua harga barangan keperluan dan makanan. Kali terakhir ia berlaku adalah pada awal tahun ini, ia menambah lebih daripada 0.5% kepada inflasi. Ini akan menjejaskan individu berpendapatan rendah dan keluarga besar secara tidak seimbang.”
Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology (MUST), Geoffrey Williams
Williams turut menolak idea mempraktikan amalan penggunaan elektik yang berhemah kerana catuan dan tingkah laku pengguna sukar diuruskan lagi-lagi melibatkan keluarga yang besar.
Struktur tarif boleh diselaraskan
Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Prof Yeah Kim Leng turut bersependapat dengan Prof Madya Ahmed agar kerajaan mengambil langkah memberi subsidi bagi meringankan beban pengguna.
“Tambahan pula, struktur tarif boleh diselaraskan supaya beban harga bahan api yang lebih tinggi ditanggung oleh syarikat dan isi rumah yang mampu membayar tarif yang lebih tinggi.
“Adalah kritikal bahawa golongan berpendapatan rendah serta perniagaan mikro, kecil dan sederhana, yang sudah berada di bawah tekanan daripada kenaikan kos tidak dikejutkan dengan perubahan harga sekali lagi. Kenaikan tarif harus dilakukan secara berperingkat,” ujarnya lagi.
Kredit gambar: IG TNB