fbpx

Aliran Trafik 51% Lebih Baik Pada Waktu Puncak, Ipoh Lancarkan Sistem Lampu Isyarat Trafik AI

Sistem baru ini dapat membantu melancarkan aliran trafik sehingga 51% ketika waktu puncak serta dapat menjimatkan masa dan kos pengguna jalan raya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Perak berjaya melancarkan sistem lampu isyarat trafik pertama yang menggunakan teknologi Artificial Intelligence (AI) bagi mengurangkan kesesakan aliran trafik.

Menurut laporan Paultan yang memetik New Strats Times, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), telah menandatangani perjanjian servis langganan bersama Telekom Malaysia (TM).

Kerjasama kedua-dua pihak ini melibatkan sistem Smart Traffic Light with Intelligence Analytic (STARS) yang menggunakan AI, kamera dengan resolusi tinggi serta analitik video bagi menganalisa dan mengawal aliran trafik.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, sistem STARS ini telah diuji sejak bulan November tahun lalu di empat persimpangan sepanjang Jalan Sultan Idris Shah.

Menurutnya lagi, sistem ini dapat membantu melancarkan aliran trafik sehingga 51% ketika waktu puncak serta dapat menjimatkan masa dan kos pengguna jalan raya, disamping turut mengurangkan pelepasan karbon sehingga 7,500kg.

lampu isyarat dengan sistem AI ini akan dipasang di seluruh negeri dan selaras dengan sasaran MBI bagi menjadikan bandar Ipoh sebagai bandaraya karbon rendah menjelang 2030.

Sistem STARS disambung kepada Pusat Operasi Bersepadu Ipoh (IIOC), yang merupakan pusat untuk Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh, ia berfungsi sebagai pusat kawalan pintar dengan kebolehan memproses data menggunakan AI dan Internet yang dikuasakan oleh rangkaian 5G.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh MBI, TM dan Digital Nasional Berhad (DNB), Perak telah menjadi negeri pertama di Utara Malaysia yang mendapat akses 5G pada kelajuan 1GB sesaat.

Selain itu, bandaraya tersebut turut merancang untuk menambah lagi 98 tapak 5G di kawasan Ipoh menjelang Oktober tahun ini, manakala liputan untuk seluruh negeri juga sedang diusahakan.

Kredit gambar: Facebook MBI

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.