
Dibuka Secara Rasmi Di Mid Valley Megamall, Ini Perbezaan MR DIY PLUS Berbanding MR DIY Biasa
MR DIY menjaminkan harga barangan yang ditawarkan oleh mereka akan sentiasa kekal rendah walaupun negara sedang mengalami kos sara hidup yang tinggi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pagi tadi, 30 Jun, MR D.I.Y. Group (M) secara rasmi telah melancarkan MR DIY PLUS, kedai dengan konsep terbaharu mereka yang pertama di Malaysia bertempat di pusat beli belah Mid Valley Megamall.
Apa yang menariknya, konsep MR D.I.Y. PLUS ini adalah berbeza dari konsep terdahulu mereka apabila menggabungkan tiga jenama utama mereka yang sudah berada di pasaran iaitu MR D.I.Y., MR Dollar dan MR Toy di dalam satu ruangan.
Apa perbezaannya?

Secara ringkasnya, MR D.I.Y. PLUS menawarkan kira-kira 20,000 jenis produk yang terdiri dari lima kategori utama iaitu :
- Perkakasan
- Barangan kegunaan rumah dan perabot
- Barangan elektrik
- Alat tulis serta produk kelengkapan sukan.
- Barangan lain (termasuk permainan, aksesori kereta, barang kemas, kosmetik, produk makanan dan minuman, serta produk penjagaan diri & kesihatan).
Cawangan terbesar di Malaysia
Dengan penawaran puluhan ribu produk yang lebih variasi di dalam satu ruangan kedai dua tingkat berkeluasan 30,000 kaki persegi yakni cawangan terbesar di Malaysia, tidak hairanlah apabila lebih 200,000 pelanggan telah mengunjungi MR DIY PLUS pada bulan pertama sejak pembukaannya pada 19 Mei 2022.
Macam one stop center lah kan?

Ruangan mega yang lebih teratur dan teliti
Ketua Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y, Alex Goh berkata, pelanggan kini bijak dan berpengetahuan, mereka mahukan nilai, kemudahan, dan manfaat daripada pengalaman membeli-belah yang menarik serta menyeronokkan.
“Kami bukan sekadar ingin membina sebuah kedai yang besar semata-mata, MR. D.I.Y. PLUS adalah sebuah ruang yang telah diatur dengan teliti untuk membawakan rangkaian barangan keperluan harian kami di sebuah lokasi yang menyenangkan.
“Kajian kami menunjukkan pasca pandemik pelanggan mahukan lebih lagi jaminan barangan harga terendah dan dengan cara yang baru, menyeronokkan serta interaktif,” ujar Alex Goh.
Menurutnya lagi, MR. D.I.Y. PLUS ini dibangunkan berdasarkan maklumat dan maklum balas pelanggan yang dikumpul oleh MR D.I.Y. sebagai sebahagian daripada proses penyelidikan pelanggan dan analisis data yang berterusan.
Jaminan harga kekal rendah
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MR D.I.Y, Adrian Ong berkata, pihaknya akan sentiasa memastikan harga yang diberikan kekal berpatutan buat para pelanggan.

Menurutnya, segalanya yang MR D.I.Y. lakukan adalah mengenai data pembelian, kami dapat mengawal setiap aspek operasi yang dijalankan dengan memberi tumpuan terhadap faedah yang kami terima setiap kali membeli barangan dari pihak pembekal
“Kecekapan dalam proses pembelian adalah penting bagi pihak kami kerana ia dapat memudahkan urusan jual beli serta mengurangkan pembaziran dan kesemua aspek ini dilakukan secara bijak,” katanya.
Tambah Adrian, dengan menerapkan semua aspek ini, pihaknya mampu membeli produk dari pembekal dengan jumlah yang sangat besar dan perundingan harga antara pihaknya dan pembekal menjadi lebih mudah.
“Segala faedah yang kami terima daripada proses rundingan dan pembelian dari pembekal, kami kongsikan dengan pelanggan kami dengan memberikan tawaran harga rendah bagi setiap produk yang kami jual,” katanya lagi sewaktu sidang majlis pembukaan rasmi tersebut.

Sempena pembukaan rasmi MR DIY PLUS, pihak MR DIY menyediakan beberapa aktiviti dan promosi hebat bermula 1 hingga 3 Julai ini bagi semua pelanggan yang berkunjung di MR DIY PLUS MidValley Megamall, Bangsar.