fbpx
Now Reading
Bengang Disaman Kerana Tiada Lesen Memandu Kelas F, Backhoe Rempuh Kereta JPJ Hingga Terbalik [Video]

Bengang Disaman Kerana Tiada Lesen Memandu Kelas F, Backhoe Rempuh Kereta JPJ Hingga Terbalik [Video]

Pemandu kenderaan berat itu tidak berpuas hati kerana disaman selepas didapati tidak memiliki lesen memandu kelas F.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Akibat berang disaman oleh pihak berkuasa, seorang lelaki bertindak merempuh pacuan empat roda milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hingga terbalik menggunakan jentolak (Backhoe) yang dipandunya di Keningau, Sabah, semalam (30 Jun).

Beberapa video yang memaparkan kejadian itu telah tular di media sosial yang menunjukkan anggota JPJ tersebut cuba memujuk pemandu jentolak berkenaan tetapi gagal.

Ketua Polis Daerah Keningau, DSP Nor Rafidah Binti Kasim berkata, kejadian difahamkan berlaku ketika pihak JPJ melakukan operasi secara rondaan di Jalan Kepayan, dekat Kampung Magatang.

Menurutnya, salah seorang anggota JPJ telah menahan dan membuat pemeriksaan ke atas kenderaan berat berkenaan sebelum mendapati lelaki yang berumur lingkungan 60-an itu tidak memiliki lesen kelas F.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, didapati terdapat kesalahan yang dilakukan oleh pemandu jentolak itu.

“Ketika saman sedang dikeluarkan, pemandu berkenaan tidak berpuas hati dan marah hingga bertindak melanggar kenderaan milik JPJ tersebut,” katanya lagi.

Impak pelanggaran telah menyebabkan kenderaan rasmi milik JPJ itu mengalami kerosakan yang teruk. Namun, anggota yang bertugas sempat menyelamatkan diri dan tiada kecederaan yang dialami mereka.

Sudah ditahan polis

Tindakan nekad lelaki itu akhirnya memakan diri apabila ditahan oleh pihak polis. Difahamkan polis yang menerima laporan tentang kejadian turut merampak jentolak yang dipandunya itu.

Kes disiasat dibawah Seksyen 186/353 dan 427 Kanun Keseksaan.

Kredit gambar: orang awam

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.