fbpx
Now Reading
Bengang Dijeling, Lelaki Baling Baldi Pada Adik & Curah Air Teh Dekat Nenek

Bengang Dijeling, Lelaki Baling Baldi Pada Adik & Curah Air Teh Dekat Nenek

Kerana bengang dijeling oleh adik, lelaki bertindak membaling dua baldi ke arah adik dan mencurahkan air teh pada neneknya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Gara-gara tidak berpuas hati dijeling, seorang lelaki didakwa membaling baldi kepada adiknya dan menjirus air teh suam pada tubuh neneknya dalam satu insiden di Kampung Tasik Tambahan, Ampang Jaya, pada 29 Jun.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, memaklumkan dalam insiden yang berlaku pada jam 9.30 malam itu, suspek berumur 25 tahun dilihat pulang ke rumah dalam keadaan marah.

Adik jeling menyebabkan abang bengang dan baling baldi & jirus nenek dengan air teh suam

Namun, tindakan adik perempuan suspek yang berumur 23 tahun menjeling kepada abangnya membuatkan suspek berang, lalu membaling dua baldi yang terkena di bahagian belakang badan mangsa.

“Suspek juga menampar dan menjirus air teh suam pada seluruh badan neneknya yang berada di rumah sama.

Cedera di bahu dan pipi

“Adik mangsa cedera di bahu manakala neneknya yang berusia 64 tahun cedera di pipi.

“Kedua-dua mangsa mendapat rawatan di Hospital Ampang,” jelasnya.

Tambah beliau, suspek yang juga seorang pengawal keselamatan telah ditahan pada Rabu malam (29 Jun) dan polis telah merampas dua baldi yang digunakan dalam insiden tersebut.

Ada sifat panas baran jika tak dapat duit

Menerusi laporan Harian Metro, Mohamad Farouk berkata suspek mempunyai sifat panas baran di mana akan mengamuk apabila tidak mendapat wang yang dimintanya.

“Suspek masih mempunyai kedua ibu bapa namun sudah lama bercerai dan tidak pernah berjumpa dengan bapa kandungnya.

Reman empat hari untuk bantu siasatan

“Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan membuat ugutan sehingga mendatangkan ketakutkan,” jelasnya.

Jika disabitkan kesalahan suspek boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.