Kerajaan telah mengarahkan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan yang mengatakan terdapat di kalangan bakal jemaah haji yang menipu status kesihatan mereka demi mengerjakan rukun Islam kelima itu pada tahun ini (2022).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary memaklumkan, jabatannya telah menyerahkan hal tersebut kepada Tabung Haji di mana siasatan awal hendaklah dijalankan bagi mengetahui sejauh mana kesahihan dakwaan tersebut, lapor Utusan Malaysia.
Kerajaan arah Tabung Haji buat siasatan
Tambah beliau, isu berkenaan juga sudah berada dalam pengetahuan pihak berwajib.
“Setakat ini, perkara itu masih belum dapat disahkan kebenarannya dan kita sedang menunggu maklum balas daripada Tabung Haji.
Tak tolak kemungkinan cuaca jadi faktor kesihatan terganggu
“Saya tidak menolak kemungkinan faktor cuaca di Tanah Suci menyumbang kepada kesihatan jemaah terganggu,” jelasnya dalam satu program di Pengkalan Chepa, semalam (3 Julai).
Ahmad Marzuk berkata demikian, semasa diminta untuk mengulas berhubung dakwaan segelintir jemaah haji yang bertindak merahsiakan status dan tahap kesihatan mereka sebelum ia diketahui ketika berada di Tanah Suci.
Nasihatkan jemaah untuk sediakan bekalan ubat-ubatan secukupnya.
Beliau dalam masa sama, turut menasihatkan jemaah yang sudah atau bakal berlepas ke tanah suci untuk menyediakan bekalan ubat-ubatan yang secukupnya untuk mengelak dari berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.
Jelasnya, belakan ubat-ubatan tersebut diharap boleh menjamin tahap kesihatan jemaah agar berada dalam keadaan baik serta dapat melakukan rukun kelima itu dengan sempurna.