fbpx

“Hati Rasa Berdebar” – Ibu Tak Sangka Mayat Ditutup Surat Khabar Rupanya Anak Sendiri

Wanita itu hanya menyedari tentang kemalangan yang menimpa anaknya itu selepas dihubungi oleh jirannya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang ibu tunggal tidak menyangka mayat ditutupi surat khabar yang dilihatnya di kawasan kemalangan di Jalan Air Tanai, Alor Gajah, Melaka, pagi tadi (4 Julai) rupanya mayat anaknya sendiri.

Menurut laporan Berita Harian, Rusita Aris, 54, semasa kejadian dalam perjalanan menghantar anak jirannya ke sekolah ketika kereta dipandunya melewati lokasi kemalangan.

“Masa lalu di jalan itu saya dah perasan ada mayat ditutup surat khabar. Hati rasa berdebar-debar, tapi saya tak berhenti kerana nak cepat sebab nak hantar anak jiran ke sekolah.”

Rusita Aris

Dalam kejadian itu, Muhammad Khiesyam Mohamad Jamel, 14, maut ditempat kejadian selepas motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta Jenis Honda CR-V pada jam 6.20 pagi.

Semasa kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Tengah Melekek menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Talib Karim.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Baru sebulan berpindah ke sekolah baru

Menurut Rusita, anaknya baru sebulan bertukar ke sekolah itu dan selama ini dia memang menghantar anaknya itu menaiki kereta.

“Arwah cakap tak mahu susahkan saya ulang alik kerana dia balik lewat hari ini, jadi dia nak pergi sendiri naik motosikal.

“Saya sempat tegur kenapa keluar awal sangat kerana jam baru 6.15…selepas solat Subuh, dia terus pergi (ke sekolah) dan itulah kali terakhir saya melihatnya,” ujarnya.

Menyedari selepas menerima panggilan telefon daripada jiran

Menurutnya lagi, dia hanya menyedari tentang kemalangan yang menimpa anaknya pada jam 7 pagi apabila jirannya memaklumkan mengenai kemalangan itu menerusi panggilan telefon.

“Arwah tidak menunjukkan perubahan ketara, cuma dalam dua tiga hari ini saya perasan dia bercakap dengan lembut dan mesra dengan adiknya.

“Di SMK Seri Kota dulu dia duduk di asrama dan aktif dalam sepak takraw. Saya tak pasti kenapa dia beriya-iya minta ditukarkan seminggu sebelum cuti sekolah lalu dan saya usahakan juga pertukaran sebulan lalu,” ujarnya lagi.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Solok Jenuang di Ayer Molek, berdekatan kubur arwah bapanya yang meninggal dunia akibat kencing manis enam tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu mengesahkan kejadian itu dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, siasatan mendapati kereta yang dipandu pekerja kilang berusia 60 tahun itu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal yang ditunggangi mangsa.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.