fbpx
Now Reading
Banjir Kilat Baling: 3 PSS Dibuka Sejak Semalam, Mayat Wanita Hamil & Ibu Mertua Ditemui [Video]

Banjir Kilat Baling: 3 PSS Dibuka Sejak Semalam, Mayat Wanita Hamil & Ibu Mertua Ditemui [Video]

Banjir kilat itu menyebabkan berpuluh buah rumah serta barangan peribadi penduduk di daerah itu rosak dan hilang dihanyutkan arus air.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

https://twitter.com/blackslavia/status/1544171008126767104?s=20&t=VKOqt9475dJE6nqRU3OT5Q

Hujan lebat berterusan kira-kira tiga jam menyebabkan beberapa buah kampung di daerah Baling, Kedah, dilanda banjir kilat pada petang semalam (4 Julai).

Sehubungan itu, tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa banjir dari beberapa buah kampung di daerah itu.

Pegawai Pertahan Awam Daerah Baling, Rasidah Kassim berkata, tiga PPS itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Iboi, SK Syed Sheh, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai.

Setakat tengah hari Selasa (5 Julai) seramai 1,426 mangsa banjir masih ditempatkan di tiga PPS tersebut.

Pengguna media sosial turut dilihat memuat naik perkongsian beberapa rakaman ketika kejadian banjir berkenaan sedang melanda.

2 jasad mangsa ditemukan

Dalam pada itu, jasad dua wanita iaitu seorang wanita hamil dan ibu mentuanya yang dihanyutkan arus kepala air di rumah mereka di Kampung Iboi ditemui dalam keadaan berpelukan kira-kira 100 meter dari lokasi rumah mereka runtuh.

Difahamkan jasad Nurul Anis Abu Hassan, 28, yang hamil ditemui bersama ibu mentuanya, Salmah Mat Akib, 53, pada jam 9.30 pagi tadi di bawah timbunan batang pokok yang turut dihanyutkan arus deras.

Menurut laporan Berita Harian, bomba masih mencari seorang lagi remaja lelaki yang turut dilaporkan hilang.

Terdahulu media melaporkan tiga sekeluarga disahkan hilang selepas dibawa arus air dalam kejadian banjir yang melanda Kampung Iboi.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim, dalam perkongsian di laman Facebooknya Isnin malam, berkata semua mereka belum ditemui sehingga kini.

“Salah seorang mangsa Abd. Rahman Said, 71, menceritakan kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi (Md Nor) situasi tragis dia kehilangan tiga daripada ahli keluarganya dalam kejadian kepala air di Kampung Iboi, petang tadi.

“Isteri Abd. Rahman, Salmah Mat Akib, 53; anaknya Mohd Khairul Ikhwan, 14, dan menantu Nurul Hanis Abu Hassan, 23, dihanyutkan kepala air yang datang secara tiba-tiba, dan masih belum dijumpai hingga kini.

“Rumah mereka juga turut dihanyutkan dalam bencana itu,” katanya yang mengiringi Menteri Besar turun padang meninjau kawasan bencana semalam.

Pasukan penyelamat termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bomba menumpukan usaha pemindahan dan mengesan mangsa terperangkap dalam banjir.

Semalam, banjir kilat melanda di dearah Baling selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam. Selain itu, ia menyebabkan air di Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk berdekatan tebing.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.