fbpx
Now Reading
Penemuan 4 Ekor Anak Harimau Malaya Beri Sinar Harapan Baharu

Penemuan 4 Ekor Anak Harimau Malaya Beri Sinar Harapan Baharu

Pelaksanaan rondaan yang dilakukan oleh jabatan perhilitan serta kerjasama badan NGO telah berjaya mengurangkan 98% aktiviti pemburuan haram.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Penemuan empat ekor anak Harimau Malaya yang dirakam perangkap kamera pada awal tahun 2022 memberi harapan baharu terhadap usaha menyelamatkan spesis berkenaan daripada pupus.

Menerusi imej dikongsikan World Wildlife Fund (WWF), empat ekor anak harimau itu kelihatan sedang berjalan bersama ibunya.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim berkata, penemuan itu merupakan perkembangan yang diinginkan terutamanya menjelang sambutan Hari Harimau Global yang akan berlangsung bulan Julai ini.

Populasi Harimau Malaya kurang daripada 150 ekor

Menurut Sophia, dengan jumlah populasi harimau yang kini kurang 150 ekor di Semenanjung Malaysia, penemuan itu memberi harapan bahawa spesis terancam ini dapat diselamatkan daripada kepupusan.

“Adalah lebih penting untuk kami meneruskan rondaan untuk melindungi anak-anak ini dan ibu mereka daripada ancaman pemburuan haram dan kehilangan habitat sedia ada.”

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim

Lahirkan dua hingga empat ekor anak pada setiap dua tahun

Berdasarkan kajian secara purata, harimau mampu melahirkan dua hingga empat ekor anak pada setiap dua tahun dan harimau mampu bunting untuk anak seterusnya dalam tempoh lima bulan jika kesemua anak terdahulu mati.

Hal ini turut mengambil kira pasangannya yang sihat dan mempunyai keadaan yang sesuai bagi proses pembiakan.

98% aktiviti pemburuan haram berjaya dikurangkan

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, pasukan anti-pemburuan haram WWF-Malaysia, dan Unit Peronda Orang Asli Menraq PSPC membuat rondaan berterusan di Taman Negeri Royal Belum yang meliputi kawasan seluas 117,500 hektar.

Menerusi rondaan ini, hampir 98% aktiviti pemburuan haram telah berjaya dikurangkan.

Undang-undang yang lebih ketat juga dijangkakan berkuat kuasa pada bulan ini dengan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020 (Akta 716) menjadikan dendan maksimum kepada RM1 juta daripada RM500,000 bagi pesalah.

Terdahulu pada Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan serius untuk menangani isu populasi Harimau Malaya yang kini berjumlah kurang daripada 150 ekor.

Jelas beliau, Malaysia mungkin berdepan risiko kepupusan Harimau Malaya sekiranya isu berkenaan tidak ditangani apatah lagi ia merupakan satu simbolik buat negara selain turut terdapat dalam Jata Negara, lambang negeri-negeri selain digunakan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Kredit gambar: WWF Malaysia

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.