fbpx
Now Reading
Hampir 400 Bakal Jemaah Haji Guna Visa Furada Terkandas Di KLIA

Hampir 400 Bakal Jemaah Haji Guna Visa Furada Terkandas Di KLIA

Pihak agensi pelancongan itu juga tidak pernah menunjukan tiket penerbangan dan visa kepada kesemua bakal jemaah haji.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak semalam (7 Julai) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Menurut laporan Bernama, kesemua jemaah haji itu dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan rukun Islam yang kelima itu dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Apa itu Visa Furada?

Visa furada ialah visa yang dikeluarkan oleh Kedutaan Arab Saudi dan selalunya hanya pihak tertentu sahaja memperolehinya.

Lazimnya, visa furada yang juga dikenali sebagai Visa Kuota Raja Salman ini diproses beberapa hari sebelum tarikh dijadualkan berangkat kerana ia tidak melibatkan kuota TH.

Penerbangan terakhir ke Jeddah pada 6 petang

Menurut seorang jemaah yang dikenali sebagai Adi, agensi itu telah meminta semua bakal jemaah untuk ke KLIA semalam kerana mereka akan berlepas pada pukul 4.30 petang, namun kemudiannya dimaklumkan telah ditangguh ke 7.00 malam.

“Semakan kami mendapati penerbangan terakhir ke Jeddah, Arab Saudi adalah pada kira-kira 6 petang tadi dan sehingga saat ini kami tidak dimaklumkan apa-apa oleh wakil agensi pelancongan.”

Bakal Jemaah Haji, Adi

Ujar Adi, mengikut perancangan asal, mereka sepatutnya bertolak ke Jeddah pada Selasa lalu (5 Julai), tetapi ianya ditangguhkan atas alasan ada dokumen yang masih tidak lengkap.

Menurutnya lagi, pihak agensi itu juga tidak pernah menunjukkan tiket penerbangan dan visa kepada semua bakal jemaah haji.

Wang berjumlah RM76,000 ‘lebur’

Jamilah, 59, yang juga salah seorang jemaah yang terkandas di sana berkata, beliau reda dengan apa yang belaku kepada dirinya dan suami dan menganggap ini adalah ujian daripada Allah.

“Sehingga ke saat ini kami masih tidak mendapat pasport kami lagi kerana ia dipegang oleh pihak agensi pelancongan. Kami tidak pernah ditunjukkan tiket kapal terbang dan visa tetapi kami meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada mereka, namun tak sangka kami juga menjadi mangsa penipuan.”

Bakal Jemaah Haji, Jamiliah

Difahamkan, Jamiliah dan suaminya yang datang dari Terengganu telah membayar wang tunai berjumlah RM76,000 kepada agensi pelancongan itu untuk menunaikan haji pada tahun ini.

Oleh yang demikian, Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Imran Abd Rahman berkata, pihak polis masih merakam keterangan daripada pengendali agensi pelancongan tersebut.

Menteri Agama pernah beri nasihat hati-hati dengan visa furada

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad ada menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati berhati-hati sekiranya mendapat tawaran dari mana-mana pihak yang menawarkan visa furada bagi menunaikan ibadah haji.

Jelas beliau, ini bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang sebenarnya menawarkan pakej haji palsu.

“Visa furada adalah visa yang tidak berkaitan dengan Tabung Haji (TH). Kita harapkan biar verify (sahkan) elok-elok. Kita tak mahu nanti apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, bebannya nanti diletakkan pada TH.

“Sebab itu kita harapkan supaya apa sekalipun, pastikan supaya visa itu memang tulen dan ada penerbangan dan penginapan di sana. Itu yang kita harapkan kepada mereka kalau ditawarkan dengan visa furada ini,” katanya dipetik dari Bernama.

Sebagai info Arab Saudi juga sudah menetapkan penerbangan terakhir bagi haji adalah pada 4 Julai memandangkan tarikh tersebut sudah begitu hampir dengan Hari Wukuf.

Kredit gambar: Twitter Fareez Azman (Astro Awani)

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.