fbpx
Now Reading
Suspek Kes Bunuh Pasangan Warga Emas Ditahan, Ada Rekod Kesalahan Lampau

Suspek Kes Bunuh Pasangan Warga Emas Ditahan, Ada Rekod Kesalahan Lampau

Ekoran dari penahanan, polis turut menemui sebilah kapak yang dipercayai telah digunakan sebagai senjata untuk membunuh kedua-dua mangsa.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam, Khamis (7 Julai), media melaporkan satu insiden tragis melibatkan satu pasangan suami isteri yang ditemui maut dipercayai dibunuh di kediaman mereka di Taman Bercham Aman, Ipoh, Perak.

Mangsa Ng Chun Hon, 64, dan isterinya Ooi Tin Lu, 59, ditemukan meninggal dunia oleh ahli keluarga dalam keadaan berlumuran darah.

Sehubungan itu pihak polis telah menjalankan misi memburu suspek, Ng Chun Ming,61, yang juga adik kepada mangsa lelaki. Dia difahamkan sudah melarikan diri dengan membawa bersama kereta Proton Saga milik kakak iparnya itu.

Terbaharu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid memaklumkan suspek sudah pun berjaya ditahan di Genting Highlands, Pahang, pada 7.45 malam hari yang sama.

Polis turut temui sebilah kapak yang digunakan untuk bunuh mangsa

Ekoran dari penahanan, polis turut menemui sebilah kapak yang dipercayai telah digunakan sebagai senjata untuk membunuh kedua-dua mangsa.

“Dengan tertangkapnya suspek ini dan rampasan barang kes, maka kes bunuh ini berjaya diselesaikan dalam masa 11 jam selepas laporan polis diterima,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Ada rekod jenayah lampau, tapi negatif dadah

Tambah Mior Faridalathrash, semakan polis mendapati suspek juga memiliki satu rekod kesalahan lampau di bawah seksyen 325 kanun keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah.

Namun ujian saringan urin suspek mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah.

“Suspek akan dibawa ke Majistret Ipoh pada hari ini (8 Julai) untuk permohonan reman,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut mengucapkan terima kasih kepada Polis Pahang, pengurusan Resorts World Genting (RWG) dan rakan media serta orang awam di atas kerjasama dan bantuan yang diberikan sehingga berjaya menangkap suspek tersebut dalam masa yang singkat.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.