fbpx
Now Reading
Isu Bakal Jemaah Haji Terkandas, Pemilik Agensi Pelancongan & 4 Individu Ditahan

Isu Bakal Jemaah Haji Terkandas, Pemilik Agensi Pelancongan & 4 Individu Ditahan

23 laporan polis telah diterima di seluruh Kuala Lumpur iaitu di Wangsa Maju, Sentul dan Dang Wangi membabitkan kerugian berjumlah RM760,000.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini media melaporkan kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut laporan media tempatan, mereka ini terdiri daripada bakal jemaah haji yang sepatutnya berlepas menggunakan Visa Furada namun berdepan pelbagai masalah dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Terbaharu hari ini, 9 Julai, polis sudah pun menahan pemilik agensi pelancongan terbabit bersama empat lagi individu.

Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah, kelima-lima mereka yang terdiri dari dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara, kira-kira 9 malam tadi, lapor Berita Harian.

“Lima individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota.

“Kami mengambil keterangan mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju bagi membantu siasatan,” katanya kepada Berita Harian.

23 laporan diterima di seluruh KL, babitkan kerugian RM760k

Tambah Ashari, 23 laporan polis telah diterima di seluruh Kuala Lumpur iaitu di Wangsa Maju, Sentul dan Dang Wangi berhubung perkara tersebut dan membabitkan kerugian berjumlah RM760,000.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan sudah meminta pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung isu tersebut.

Beliau menegaskan, sekiranya terdapat sebarang unsur penipuan, pihak yang terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal.

Perkara sama turut dibangkitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Yb Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri yang meminta mangsa yang tidak berjaya menerima kembali duit mereka untuk tampil membuat laporan polis.

© 2021 BuzzKini. All Rights Reserved.