fbpx
Now Reading
Hilang Sejak November, Polis Buat Hebahan Cari Bekas Personaliti TV3 Zalina Azman
Polis sedang giat mencari bekas personaliti TV3 Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November

Hilang Sejak November, Polis Buat Hebahan Cari Bekas Personaliti TV3 Zalina Azman

Pihak polis telah bertindak untuk melakukan hebahan orang hilang kepada umum untuk membantu mencari atau memberi maklumat berhubung kes tersebut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini giat mencari bekas personaliti TV3, Zalina Shaharah Azman atau turut dikenali dengan Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kes kehilangan tersebut daripada keluarga Zalina, 58, pada 29 November tahun lepas (2021).

Hubungi ibu sebab nak bagitahu datuk sakit

“Dalam laporan itu, pengadu (anak Zalina) cuba mencari dan menghubungi ibunya sejak 24 November bagi memaklumkan datuk (bapa Zalina) dimasukkan ke hospital namun gagal.

“Pada 29 November, pengadu dan bapa saudaranya pergi ke rumah ibunya di Seksyen 3 dan mendapati kereta ibunya berada di tepi rumah.

Rumah tidak terurus, jumpa barang peribadi dan duit

“Pengadu mendapati keadaan di dalam rumah tidak tersusun. Turut ditemui beg duit milik ibunya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad kredit, kunci kereta serta wang tunai RM600.

“Bagaimanapun, ibunya tidak dijumpai. Segala usaha mencari sudah dijalankan namun gagal menemui mangsa,” jelasnya.

Hebahan dilakukan untuk bantu siasatan

Foto: FB Polis (IPD) Shah Alam

Oleh itu, hebahan dilakukan oleh pihak polis pada 18 Julai kepada umum bertujuan untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam turut menyebarkan foto Zalina serta informasi berkaitan mangsa seperti bersusuk tubuh kecil, mempunyai kulit hitam manis dan mempunyai ketinggian 158 sentimeter dan kurus.

Polis dalam masa sama turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh memaklumkan kepada Pegawai Penyiasat Sarjan Sabturia Lorong atau Balai Seksyen 6 Shah Alam di talian 03-5519 4622.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.