
“Mohon Doakan Anak Kesayangan Mama” – Ibu Maklumkan Keadaan Ainul Mardhiah Kritikal [Video]
Menurut ibu kepada kanak-kanak tersebut, Ainul pada awalnya mengalami muntah dan cirit-birit sebelum dibawa ke hospital.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ainul Mardiah Ahmad Safiuddin yang pernah menderita kerana mengalami sakit kanser mulut Germ Cell Tumor kini dilaporkan dalam keadaan kritikal serta tenat.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran ibunya, Nurul Erwani Zaidi di dalam Instagram yang memberitahu kanak-kanak berusia 4 tahun itu kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).
Doktor maklum Ainul kritikal dan tenat

“Doktor ICU beritahu keadaan Ainul kali ini agak kritikal dan tenat. Satu badan penuh dengan wayar dah anak mama ni,” tulisnya di dalam kapsyen.
Nurul Erwani turut memaklumkan pada awalnya kanak-kanak itu mengalami muntah serta cirit-birit dan keadaan menjadi teruk apabila hari kedua Ainul kelihatan tidak bermaya.
Kuman dah menjangkiti semua tempat
“Sebab nampak lain sangat keadaan Ainul kali ni, terus bawa ke Jabatan Kecemasan. Doktor buat prosedur dan beritahu rupanya Ainul dah terlalu tenat sebab jangkitan kuman dah dekat semua tempat,” jelasnya.
Ibu kanak-kanak tersebut turut meluahkan kekecewaannya terhadap diri sendiri kerana gagal memberikan perhatian kepada Ainul serta meminta orang ramai untuk mendoakan anaknya.
Minta orang ramai doakan kesejahteraan Ainul Mardhiah
“Mama tak minta banyak. Mohon doakan anak kesayangan mama, Ainul Mardhiah ni jadi lagi kuat untuk lawan penyakit ni,” kata Nurul Erwani.
Nurul Erwani menerusi satu lagi hantaran turut meminta orang ramai untuk berhati-hati dengan keadaan sekarang kerana virus telah berada di mana-mana.
Malah katanya meskipun Ainul hanya duduk di rumah sahaja dan menjaga kebersihan namun jika sesuatu perkara itu hendak terjadi ia tetap akan berlaku juga.
Pernah mengemparkan Malaysia hingga mendapat perhatian ramai
Terdahulu, kisah mengenai penyakit Ainul Mardhiah telah mengemparkan seluruh negara sehingga ia mendapat perhatian Dr Nur Amalina Che Bakri.
Pembedahan kanak-kanak itu kemudian dilakukan di London, United Kingdom (UK), untuk membuang tumor yang berada di dalam mulut kanak-kanak tersebut pada tahun 2019.