fbpx
Now Reading
Hanya Kerana Tegur Air Masuk Rumah, Lelaki Terima 15 Jahitan Akibat Dipukul Jiran

Hanya Kerana Tegur Air Masuk Rumah, Lelaki Terima 15 Jahitan Akibat Dipukul Jiran

Menurut Ketua Polis Daerah Klang, mangsa yang dipukul itu mengalami luka di bahagian kepala dan menerima 15 jahitan di Hospital Ampuan Rahimah (HTAR) klang.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang lelaki cedera selepas dipukul oleh jirannya menggunakan penyodok air yang diperbuat daripada besi kerana berang ditegur menolak air memasuki kediaman rumahnya di Taman Bayu Emas, Klang pada Ahad lalu (31 Julai).

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 9.20 pagi akibat perselisihan faham antara lelaki tersebut bersama jiranya.

Kejadian berpunca selepas suspek tolak air paip guna penyodok air ke rumah mangsa

Menurut Hoong, kejadian berpunca apabila suspek dikatakan menolak air paip menggunakan penyodok air ke kawasan rumah mangsa.

“Perbuatan tersebut menyebabkan kemarahan mangsa dan seterusnya berlaku pergaduhan. Semasa pergaduhan itu, jiran (suspek) telah memukul mangsa menggunakan penyodok air yang diperbuat daripada besi.

“Tindakan itu mengakibatkan mangsa berusia 54 tahun mengalami luka di kepala dan menerima 15 jahitan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, sepasukan polis dari Bahagian Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah menahan suspek pada jam 10.30 malam hari yang sama kejadian berlaku selepas menerima maklumat mengenai kejadian tersebut.

Suspek direman 3 hari

Tambah Hoong, suspek yang juga berusia 43 tahun itu kini ditahan reman selama tiga hari sehingga Rabu ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat dan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihati agar orang awam sentiasa mengamalkan nilai murni, memperkukuhkan semangat kejiranan serta mewujudkan suasana harmoni di kawasan perumahan bagi mengelak sebarang perselisihan faham berlaku antara sesama jiran.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.