
“Perangai..”- Tunku Idris Kecewa Kereta Honda E Miliknya Digesel Kereta Singapura [Video]
Pemandu BMW yang bernombor pendaftaran Singapura itu hanya berlalu pergi tanpa melihat keadaan Tunku Idris yang sudah digeselnya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Siapa sahaja yang tidak kecewa apabila melihat kenderaan yang disayangi digesel orang. Malah perasaan pasti lebih membuak apabila individu yang melanggar itu boleh pula buat tidak tahu sahaja.
Baru-baru ini, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim telah berkongsi kekecewaannya di Instagram apabila kenderaan miliknya calar gara-gara digesel sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura.
Insiden tersebut dilaporkan berlaku di hadapan sebuah kedai roti di Jalan Serampang, Taman Pelangi, Johor Bharu, semalam (1 Ogos).

Kongsi video dan gambar dalam Instagram
Dalam hantaran tersebut, Tunku Idris telah memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menujukkan kejadian berkenaan serta berkongsi bahagian kenderaan yang digesel.
Menerusi rakaman CCTV tersebut, insiden yang terjadi jam 2.17 petang itu jelas menunjukkan pemandu yang membawa kenderaan jenis BMW tersebut telah mengesel kereta Tunku Idris sebelum memasuki ruang parkir yang kosong.
Pemandu hanya lalu di hadapan kenderaan Tunku Idris
Malah, apa yang lebih memeranjatkan lagi pemandu BMW itu hanya berlalu pergi dengan berjalan di hadapan kereta Baginda tanpa melihat keadaan kereta yang telah dilanggarnya.
Tunku Idris turut memuat naik satu hantaran di Insta Story dengan kapsyen ‘Thanks’ kepada kenderaan BMW tersebut.

Kenderaan Tunku Idris guna 100% elektrik dan hanya ada empat unit di Malaysia
Memetik laporan Utusan Malaysia, difahamkan kenderaan baginda merupakan sebuah kereta elektrik Honda yang dikenali sebagai Honda E dan ia menggunakan 100% elektrik.
Kenderaan tersebut juga dikatakan dijual dengan harga bermula RM210,000 di Malaysia serta difahamkan hanya terdapat empat unit sahaja di negara ini dan salah satunya dimiliki Tunku Idris.
Polis maklum dan kes masih dalam siasatan
Mengulas lanjut berhubung insiden tersebut, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memaklumkan, pihaknya maklum berhubung insiden berkenaan.
Malah laporan polis berhubung insiden terbabit sudah dilakukan di Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan.
“Bagi tindakan seterusnya, kita akan tunggu hasil siasatan nanti,” jelasnya dalam aplikasi WhatsApp.