
Akaun Telegram, Signal Digodam, Perdana Menteri Buat Laporan Polis & SKMM
Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram berkata, akaun yang digodam itu dipercayai telah digunakan bagi aktiviti jenayah penipuan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak semalam, 8 Ogos tular di media sosial apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa akaun Telegram peribadi miliknya telah digodam pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau yang tampil menerusi satu ciapan di Twitter kemudiannya meminta orang ramai yang menerima sebarang mesej dari akaun tersebut untuk mengabaikan dan melaporkannya kepada kepada pihak berkuasa.
Perhatian: Akaun Telegram peribadi saya telah digodam oleh individu tidak bertanggungjawab. Mohon laporkan kepada pihak berkuasa dan abaikan sebarang mesej yang diterima daripada akaun berkenaan.
— Ismail Sabri (@IsmailSabri60) August 8, 2022
Akaun Menteri Luar turut digodam
Tidak lama kemudiannya, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah pula memaklumkan akaun Telegram peribadnya turut berdepan isu sama.
Akaun Telegram saya telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan nama dan gambar saya melalui aplikasi tersebut.
— Saifuddin Abdullah 🇲🇾 (@saifuddinabd) August 8, 2022
Sesiapa yang menerima sebarang mesej daripada Telegram dinasihati abaikannya dan laporkan kepada pihak berkuasa.
Terbaharu, hari ini Perdana Menteri dilaporkan telah membuat satu laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu tersebut.
Namun difahamkan bukan setakat Telegram, malahan akaun Signal beliau turut terjejas.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram sebentar tadi berkata, akaun yang digodam itu dipercayai telah digunakan bagi aktiviti jenayah penipuan.
Sehubungan itu mereka meminta mana-mana pihak yang menerima mesej daripada akaun tersebut untuk mengabaikannya serta membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Individu yang menerima mesej daripada akaun ini diminta mengabaikannya kerana ia adalah mesej palsu daripada individu yang menyamar sebagai Perdana Menteri.
“Mana-mana individu yang telah menjadi mangsa penipuan kewangan dan lain-lain, hendaklah melaporkannya segera kepada PDRM dan SKMM bagi membantu siasatan,” kata kenyataan itu.
Telegram beri respon balas, tawar bantuan
Dalam pada itu, Telegram sebentar tadi menerusi satu ciapan balas memaklumkan akaun Perdana Menteri sudah pun pulih.
Kami difahamkan akses ke akaun YAB telah dipulihkan. Untuk keselamatan, adalah mustahak agar tidak memberi kod log masuk Telegram kepada sesiapapun. Kami juga syorkan kepada pengguna kami untuk setkan kata laluan tambahan: Aturan – Privasi dan Sekuriti – Verifikasi Dua Langkah.
— Telegram Messenger (@telegram) August 9, 2022
Mereka dalam satu ciapan berbeza pula turut menawarkan bantuan terhadap Saifudddin.
Sila mesej kami sekiranya YAB masih perlukan bantuan. Untuk keselamatan, adalah mustahak agar tidak memberi kod log masuk Telegram kepada sesiapapun. Kami juga syorkan kepada pengguna kami untuk setkan kata laluan tambahan: Aturan – Privasi dan Sekuriti – Verifikasi Dua Langkah.
— Telegram Messenger (@telegram) August 9, 2022