Selepas diisytiharkan mati sejak Januari 2022 lalu akibat kehilangan MyKad, seorang warga emas di Johor Bharu kini mampu menarik lafas lega apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menghidupkan semula kad pengenalannya.
Warga emas yang dikenali sebagai Low Choo Choon, 71, berkata berita gembira itu diterima menerusi panggilan telefeon oleh seorang pegawai JPN, semalam (10 Ogos).
Menurut Choo yang juga seorang pemandu van, dia berterima kasih kepada media dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang kerana membantu mengetengahkan isu ini.
Tidak lagi berstatus orang mati
“Tengahari tadi JPN sudah hubungi saya dan memaklumkan kad pengenalan sudah aktif dan tidak berstatus sebagai orang mati lagi.
“Banyak saya hendak uruskan selepas ini, termasuk membuat laporan polis berhubung dokumen tanah yang hilang,” katanya ketika dihubungi media.
Sementara itu, Wong menerusi satu hantaran di laman Facebook berkata, beliau berterima kasih kepada pihak JPN kerana mempercepatkan proses pengaktifan kad pengenalan warga emas terbabit.
“Terima kasih saya ucapkan kepada JPN yang mempercepatkan proses pengaktifan kad pengenalan Uncle Low, dan rakan-rakan media atas liputan berita yang dijalankan.”
ADUN Senai, Wong Bor Yang
Berdepan kesukaran uruskan hal penting
Terdahulu, media melaporkan kisah Choo yang berdepan kesukaran menguruskan hal penting dan kegusaran kerana kad pengenalan dirinya sudah berstatus meninggal dunia.
Choo menyedari tentang status kad pengenalannya itu setelah dia ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kehilangan dokumen pada Januari lepas.
Menurutnya lagi, pelbagai usaha telah dilakukan ketika itu termasuklah membuat laporan polis serta melaporkannya kepada JPN untuk diambil tindakan.